Utamakan pekerja tempatan berbanding warga asing

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kawasan pasar borong khususnya di Selayang perlu bebas daripada warga asing dan tidak mahu lagi dilabel sebagai Little Myanmar, Little Arakan sebaliknya perlu kekal dengan nama asal.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menggesa peniaga terutama dalam kawasan pasar borong mengupah pekerja tempatan dan bukan warga asing.

Menurutnya, ramai pekerja tempatan menggantikan pekerja asing yang kebanyakannya sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar Pasar Borong KL sejak 20 April lalu.

"Saya terperanjat apabila hari ini dilaporkan lebih 1,000 orang tempatan bekerja di pasar borong (KL). Persoalannya ada pula orang tempatan yang boleh bekerja, kenapa sebelum ini ambil pekerja asing?

"Mungkin kerana upah warga asing lebih murah berbanding pekerja tempatan yang perlu dibayar gaji minimum.

"Tapi jika perniagaan kita untung, kenapa upahnya tidak boleh di bayar lebih asalkan menggunakan pekerja tempatan berbanding warga asing yang sebahagiannya pengotor, tiada dokumen perjalanan dan bukan warganegara, pada saya itu salah, " katanya pada sesi Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.

Annuar juga berharap pengambilan warga tempatan itu diteruskan pada masa akan datang dan berhenti mengambil warga asing yang banyak menimbulkan masalah.

"Ada warga tempatan dan gelandangan mahu bekerja malah hari ini sudah menjalani temuduga.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak mahu lagi lihat pasar borong ini jadi Little Myanmar, Little Arakan dan sebagainya. Selayang perlu kekal dengan Selayang," katanya.

Katanya, beliau telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melihat perkara tersebut dan memperbetulkan keadaan walaupun agak sukar.

"Saya tahu susah, ada tauke yang tak suka dengan apa yang saya sebutkan tetapi kita tidak mahu tengok Chow Kit, Selayang dipenuhi warga asing. Saya dengar Little India dan Petaling Street juga ramai warga asing

"Utamakan pekerja tempatan, mungkin mahal tapi tidak salah berkongsi kemakmuran, keuntungan dengan rakyat sendiri.

"Jika asyik fikir untung dengan sanggup mengambil warga asing maka lihat apa yg kita dapat sekarang sehingga akhirnya suasana menjadi tidak selesa sehingga kita sendiri rasa tidak selamat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!