Alasan beli sahur elak ditahan ketika berjudi

Keempat-empat lelaki yang sedang leka berjudi ditahan polis awal pagi tadi.
Keempat-empat lelaki yang sedang leka berjudi ditahan polis awal pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Helah empat sekawan yang memberi alasan ingin membeli juadah sahur tidak berhasil apabila mereka dicekup sedang berjudi di sebuah gerai tomyam di Jalan Madrasah, Jelutong di sini.

Kesemua mereka ditahan dalam Ops Covid/Op Dadu yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 21 hingga 34 tahun itu ditahan pada jam 1.20 pagi tadi.

"Hasil risikan yang dijalankan, kita berjaya menahan empat lelaki yang sedang leka bermain judi pakau di sebuah gerai tomyam di Jelutong. Ketika serbuan, mereka memberi alasan keluar membeli makanan untuk bersahur.

"Bagaimanapun, kita mendapati mereka sedang bermain judi apabila pelbagai barangan disyaki untuk berjudi ditemui di lokasi tersebut. Mereka menjadikan gerai tersebut sebagai 'port' untuk bermain judi sejak semalam," katanya ketika dihubungi tadi.

Menurutnya, tiga daripada yang ditahan bekerja sebagai ejen insurans, pekerja farmasi dan pengawal keselamatan manakala seorang lagi penganggur.

Siasatan awal katanya, mendapati kesemua lelaki tersebut bermain judi untuk mengisi masa lapang dan tiada penganjur bermula jam 12 tengah malam sehingga lewat pagi untuk mengelak ditangkap.

"Kita merampas wang tunai RM150, 52 keping kad daun terup, sebuah telefon bimbit, sebuah meja dan empat buah kerusi.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!