RESIPI RAMADAN Sup 'gearbox tok abah' jadi menu wajib berbuka
Setiap kali sembilan beradik itu berkumpul terutama di penghujung Ramadan di kampung mereka di Besut, pasti arwah bapa Mat Yusof Awang Hin dan ibu, Raja Timah Raja Ismail akan menghidangkan masakan utama tersebut.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, menu ini menjadi kegemaran mereka adik-beradik termasuk arwah abah, malah menu sup 'gearbox tok abah' diberi nama sempena kesukaan arwah yang turut memperkenalkan resipinya tersendiri bagi menyiapkan sup ini.
Nik Mohd Shahril Irwan berkata, menu itu pasti disediakan walaupun tidak setiap hari tetapi cukuplah sekadar sekali dihidangkan dalam tempoh 30 hari berpuasa.
"Ini kerana sekarang ini memang sukar untuk mendapatkan bekalan 'gearbox' yang segar dan baharu terutama pada musim bulan puasa ini.
"Bagi memastikan kami sekeluarga dapat menikmati sup 'gearbox tok abah' pada bulan puasa, saya cuba sedaya upaya belajar menyediakan sup ini dengan arwah abah menggunakan resipi turun temurun kami sekeluarga.
"Alhamdullilah, ilmu turun temurun keluarga kami sudah dikongsi kepada isteri, Dr Farah Sabreena A Azis @ A Aziz dan hari ini, hasil air tangannya sama seperti yang dihasilkan oleh kami sekeluarga," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, dia dan adik beradik akan berbuka puasa dengan menikmati sup 'gearbox tok abah' bersama nasi putih selain memilih mencecah sup tersebut dengan pelbagai jenis roti terutamanya roti 'bata' atau 'loaf' yang menjadi kegemaran arwah abah.
"Biasanya, selepas solat tarawih, kami adik-beradik berkumpul sekali lagi untuk menikmati sup ini dengan mencecah dengan roti dan kami akan makan bersama-sama.
"Dengan cara inilah saya yakin sedikit sebanyak dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan kami bersama sehingga hari ini," katanya.
Katanya, untuk menjadikan masakan sup itu sedap, pastikan memilih tulang atau 'gearbox' lembu yang baharu disembelih dan bukannya yang disejuk beku selain pastikan tulang atau 'gearbox' itu direbus sehingga betul-betul empuk.
"Sekiranya kita memilih tulang atau 'gearbox' yang segar, air rebusan itu sebenarnya sudah manis dan tidak perlulah kita meletakkan pelbagai bahan masakan lain. Baru kita akan menikmati rasa keaslian sup tulang atau 'gearbox' tersebut," katanya.
Bahan-bahan:
Tulang/kali lembu (dipotong)
Bawang merah
Bawang putih
Halia
Perencah sup bunjut
Garam (secukup rasa)
Daun sup dan daun bawang
Cara masak:
1. Tulang/gearbox lembu direbus hingga empuk. kemudian masukkan halia yg telah diketuk ke dalam tulang/gearbox yang sedang direbus.
2. Goreng bawang merah, bawang putih dan halia yang dihiris dengan api perlahan hingga garing dan berbau wangi.
3. Selepas itu, tuangkan semuanya ke dalam periuk tulang/gearbox lembu tadi. Masukkan garam dan serbuk perasa. Selepas itu masukkan daun sup dan bawang dan siap untuk dihidangkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!