Peniaga kuih raya terjejas, ramai batal tempahan

Munirah bersama sebahagian daripada kuih raya yang dihasilkannya.
Munirah bersama sebahagian daripada kuih raya yang dihasilkannya.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kesukaran mendapatkan bahan dan pembatalan tempahan antara cabaran yang terpaksa dilalui pengusaha kuih raya, kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

Seorang pengusaha kuih raya, Munirah Mansor, 31, berkata, kesan yang paling ketara adalah 600 balang kuih raya yang ditempah terpaksa dibatalkan kerana pelanggannya tidak dapat pulang beraya ke kampung selain berdepan masalah kewangan.

Menurutnya, dia yang mengambil tempahan sejak Januari lalu pada awalnya mendapat tempahan 2,500 balang kuih raya, namun kini hanya tinggal 1,900 balang.

"Saya memang ambil tempahan awal untuk raya kerana perlu siapkan awal, sebelum diberikan kepada pelanggan, ejen dan stokis.

"Tapi kesannya memang ketara apabila tempahan mula dibatalkan satu per satu sejak PKP, tapi mahu atau tidak kita terpaksa terima sebab masing-masing menerima kesannya begitu juga saya.

"Mujurlah kuih raya dalam proses untuk dibuat, hanya sebahagian daripadanya sudah siap, jadi tidaklah rugi sangat cuma pendapatan sedikit berkurangan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gong Pauh di sini.

Munirah mengira tempahan kuih raya sebelum dihantar kepada pelanggan.
Munirah mengira tempahan kuih raya sebelum dihantar kepada pelanggan.

Mula aktif membuat kuih raya menggunakan jenama Cik Mun sejak 2015, ibu kepada tiga anak ini berkata, setiap tahun pendapatan hasil menjual kuih raya meningkat dan pada tahun lalu, dia mampu meraih jualan bersih RM15,000.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, jualannya banyak menurun pada tahun ini selain berdepan dengan kekurangan tenaga kerja.

Sebelum ini, dia mempunyai tiga pembantu bagi menyiapkan tempahan tetapi terpaksa melakukan kerja bersendirian kerana pekerjanya sukar untuk keluar bekerja kerana pergerakan terhad.

"Saya akan mula membuat kuih dari jam 8 pagi hingga 6 petang bagi menyiapkan sembilan jenis kuih raya iaitu choc chip, tart nenas, tart blueberry, tart cadbury, semperit, almond chip, brownies chip, popia hot cheese dan popia cheese.

"Jika dahulu boleh siapkan lebih 50 balang sehari, sekarang saya hanya mampu siapkan 20 balang kerana anak-anak di rumah, adakalanya tumpuan terganggu kerana pada masa yang sama terpaksa menguruskan mereka," katanya.

Munirah (kanan) bersama ejennya yang ingin mengambil tempahan kuih raya.
Munirah (kanan) bersama ejennya yang ingin mengambil tempahan kuih raya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana kerajaan telah melonggarkan peraturan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kata Munirah, fokusnya kini menyiapkan tempahan kuih raya khususnya bagi pelanggan, ejen dan stokis di luar Terengganu seperti Johor, Kedah dan Melaka supaya kuih raya yang ditempah dapat dihantar sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!