Diskaun 30 peratus pajakan tanah milik Perbadanan Labuan
KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus ke atas pajakan 108 lot tanah milik Perbadanan Labuan (PL) selama lima bulan sehingga Julai 2020.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, bantuan itu adalah di bawah Inisiatif Wilayah Cakna kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perusahaan mikro di Labuan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, ia melibatkan tanah milik PL yang dipajakkan kepada 85 syarikat yang menjalankan aktiviti berkaitan minyak dan gas, logistik, komersial, kejuruteraan serta pelancongan.
"Keseluruhan kos ditanggung oleh kerajaan bagi pemberian diskaun ini adalah sebanyak RM987,000 bagi tempoh Mac hingga Julai melibatkan 95 perjanjian.
"Sebanyak 78 perjanjian melibatkan kadar pajakan di bawah RM10,000; 17 perjanjian bagi kadar pajakan antara RM11,000 hingga RM50,000 dan satu perjanjian bagi kadar melebihi RM100,000 sebulan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, penambahan Inisiatif Cakna itu diharap dapat meringankan beban ditanggung syarikat yang tidak dapat beroperasi sepanjang PKP dilaksanakan.
"Ini adalah selari dengan inisiatif kerajaan Persekutuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bagi mengatasi penularan koronavirus (Covid-19).
"Syarikat terlibat bokeh menghubungi Jabatan Penilaian, Pelaburan dan Pengurusan Harta PL di talian 087-408650 bagi sebarang pertanyaan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!