'Rakyat jangan ghairah keluar rumah'
KOTA BHARU - Polis Kelantan mengekalkan 36 sekatan jalan raya di seluruh negeri ini dan menasihatkan rakyat agar tidak terlalu ghairah keluar rumah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, keadaan itu dibimbangi menjejaskan negeri Kelantan yang dikategorikan sebagai zon hijau negeri sekiranya terlalu banyak pergerakan dilakukan.
Katanya, rakyat di negeri ini diingatkan supaya terus mematuhi arahan pihak berkuasa walaupun terdapat beberapa kelonggaran yang dibenarkan seperti keluar berteman atau dua orang satu kereta dalam kalangan isi rumah.
“Kami menerima aduan terdapat bilangan pengunjung yang agak ramai di Pasar Sumayyah Tumpat dengan ibu bapa yang membawa anak-anak.
“Perkara itu memang berlaku dan saya ingatkan kepada rakyat supaya terus mengamalkan langkah berjaga-jaga kerana risiko jangkitan koronavirus (Covid-19) masih ada lebih-lebih lagi terhadap kanak-kanak serta bayi,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mengulas lanjut katanya, setakat jam 12 tengah malam semalam, seramai 860 individu ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Rata-rata yang ditahan ingkar PKP tidak dapat mengemukakan alasan yang jelas dan keluar rumah hanya untuk suka-suka tanpa urusan penting.
“Hal ini tidak boleh diambil mudah kerana negara belum bebas sepenuhnya daripada wabak Covid-19. Kebimbangan dan bahaya Covid-19 terbukti dengan peningkatan jumlah kes daripada dua angka kembali kepada tiga angka dua hari berturut-turut bermula semalam,” katanya.
Justeru, beliau meminta kerjasama sepenuh dan berterusan daripada rakyat untuk bersama-sama terus mematuhi PKP bagi memastikan tiada jangkitan baharu mahupun kes import.
“Biarpun diberi beberapa kelonggaran, jangan ambil kesempatan kerana Covid-19 cepat merebak apabila seseorang dijangkiti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!