Kejam jika Liverpool tidak diiktiraf juara EPL

Lloris - Foto : gettyimages
Lloris - Foto : gettyimages
A
A
A

Penjaga gol Tottenham Hotspurs Hugo Lloris, menyifatkan adalah kejam sekiranya peneraju Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini, Liverpool tidak diiktiraf sebagai juara EPL musim 2019/2020.

Lloris berkata, skuad The Reds itu juga dilihat pada kedudukan terbaik di puncak liga dengan perbezaan 25 mata berbanding pencabar terdekat Manchester City apabila saingan EPL dihentikan Mac lalu berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun menurut Lloris, berikutan pandemik berkenaan sebahagian besar pemain serta pasukan dalam saingan EPL turut mendesak agar saingan EPL dihentikan.

“Kita dalam situasi di mana semua orang mahu menamatkan saingan dengan mendapat keputusan walaupun tanpa beraksi di atas padang.

“Ia tentunya teruk jika semua perkara berakhir sembilan hari sebelum tamatnya saingan EPL. Ia juga kejam untuk Liverpool berdasarkan kepada kelebihan yang mereka miliki kerana mereka hampir menjadi juara,”

“Ia seperti satu perkara yang tidak selesai. Lagi pun, kita berada di ambang saat paling menggembirakan, detik paling indah bagi musim ini dan sudah tentu tiada siapa mahu ia berakhir seperti ini,” katanya.

Untuk rekod skuad The Reds itu hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk merangkul trofi EPL buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun apabila saingan EPL dihentikan akibat pandemik Covid-19, Mac lalu.

Sementara itu Lloris berkata, meneruskan aksi tanpa kehadiran penonton dilihat bukan sebagai satu tindakan yang ideal kerana ia akan ‘melenyapkan’ segala faktor yang menjadikan bola sepak sebagai sukan yang paling istimewa.

Artikel Berkaitan:

“Ia akan menjadi pelik bila berlaku. Bola sepak bukanlah sukan yang berlangsung tanpa penonton. Tanpa penyokong, ia tidak sama.

“Ia juga bukan cara saya melihat bola sepak. Biasanya kita akan berkumpul berkongsi emosi dengan memenuhi stadium mencipta atmosfera, sorakan penyokong, warna-warni dan nyanyian lagu (chant).

“Namun ada isu-isu lain yang perlu difahami di peringkat kelab dan persekutuan di mana semua pihak perlu mencari jalan untuk bertolak ansur antara soal kesihatan dan keperluan untuk menamatkan saingan liga musim ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!