Anak kelaparan, ibu terpaksa masak batu
MOMBASA - Seorang ibu lapan anak terpaksa berpura-pura memasak batu dengan harapan anak-anaknya tertidur semasa menunggu dia memasak makan malam.
Peninah Bahati Kitsao yang kehilangan punca pendapatannya mengambil upah mencuci pakaian setelah Kenya mengisytiharkan perintah berkurung lantaran daripada penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Menurut Metro.Co.Uk, Peminah berkata, anak-anaknya mula mengetahui perbuatannya berpura-pura memasak makan malam untuk menidurkan mereka.
"Mereka memberitahu saya mereka tahu saya berbohong, tapi saya tidak mampu membuat apa-apa kerana saya tidak punya apa-apa," luahnya.
Jiran Peminah, Prisca Momanyi kemudiannya memberitahu media tempatan berhubung perkara tersebut dan membuka akaun bank untuknya kerana bersimpati.
Peminah yang tidak dapat menulis dan membaca berkata dia menerima banyak sumbangan sejak daripada itu.
"Saya seperti tidak percaya orang Kenya sungguh baik hati setelah saya menerima panggilan telefon dari seluruh negara yang ingin membantu saya," tambahnya lagi.
Peminah bersama keluarganya tinggal di dalam rumah dua bilik sejak beberapa bulan lalu tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.
Suaminya juga telah terbunuh dalam satu pembunuhan tahun lepas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!