Pasar Awam Tanjong Karang kurang pelanggan

Orang ramai diminta menghentikan penyebaran berita palsu berhubung penutupan operasi pasar berkenaan.
Orang ramai diminta menghentikan penyebaran berita palsu berhubung penutupan operasi pasar berkenaan.
A
A
A

TANJONG KARANG - Peniaga Pasar Awam Tanjong Karang di sini meminta orang ramai berhenti menyebarkan berita palsu kononnya lapan peniaga di pasar itu dijangkiti koronavirus (Covid-19).

Seorang peniaga ikan keli, Abd Shukur Ahmad,34, berkata, perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu hanya menyebabkan pelanggan panik untuk ke pasar itu seperti kebiasaannya.

Menurutnya, pasar yang menjadi tumpuan pelanggan membeli barangan basah dan keperluan harian itu semakin kurang dikunjungi pelanggan selepas tular gambar peniaga di pasar itu menjalani saringan Covid-19 pada Sabtu lalu.

"Kami hanya menjalani ujian saringan sahaja dan tiada lagi kes positif Covid-19 seperti yang tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp," katanya.

Abd Shukur yang berniaga sejak 15 tahun lalu di pasar itu berkata, pasar itu ketika ini masih beroperasi seperti biasa bermula pada jam 7 pagi hingga jam 2 petang sepanjang Ramadan ini.

Beliau memberitahu, pada masa ini hanya dua gerai menjual sayur sahaja di pasar itu diarahkan ditutup.

"Peniaga terbabit hanya dikuarantin sahaja dan belum lagi disahkan positif, jika disahkan positif sudah tentu keseluruhan operasi pasar awam ini ditutup," katanya.

Menurut Abd Shukur, penyebaran maklumat palsu itu juga memberi kesan kepada hasil pendapatannya dan peniaga lain sejak tiga hari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini saya mampu menjual ikan keli sehingga 100 kilogram (kg), tetapi hanya 50 kg sahaja mampu terjual sejak penyebaran berita palsu tersebut.

"Saya mohon orang ramai jangan panik, sebaliknya mereka dinasihatkan mengamalkan kebersihan diri, patuhi penjarakkan sosial serta memakai penutup hidung dan mulut," katanya.

Sebelum ini tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp kononnya Pasar Awam Tanjong Karang ditutup berikutan terdapat peniaga yang mengunjungi pasar borong Kuala Lumpur di Selayang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!