Kekerapan tren MRT ditingkatkan: Ka Siong

Ka Siong melakukan tinjauan di Stesen MRT Bukit Bintang selepas kerajaan membenarkan sektor ekonomi dan pekerjaan beroperasi semula dengan syarat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ka Siong melakukan tinjauan di Stesen MRT Bukit Bintang selepas kerajaan membenarkan sektor ekonomi dan pekerjaan beroperasi semula dengan syarat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) meningkatkan frekuensi kekerapan perjalanan tren Transit Aliran Massa (MRT) bagi menampung keperluan semua penumpang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, ketika ini, separuh daripada kapasiti penumpang dalam tren digunakan bagi tujuan penjarakan sosial.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan jumlah penumpang dalam tren pada satu masa tidak akan seperti kelaziman sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setakat ini pada waktu kemuncak jam 7 hingga 9 pagi tadi, nampaknya tidaklah begitu ramai penumpang, tapi kita akan terus memantau prestasi esok dan lusa. Saya jangkakan akan ada pertambahan penumpang.

“Kita telah bersiap sedia dan kapasiti kita tidak seperti dulu, bermaksud lebih separuh ruang dalam tren digunakan untuk penjarakan sosial maka kita kena tambah frekuensi.

“Dalam erti kata lain, sebelum PKP mungkin tidak dapat frekuensi yang begitu kerap, tapi kali ini kena kerap supaya kita dapat memastikan perkhidmatan terbaik dan mampu mengangkut semua penumpang, “ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di Stesen MRT Bukit Bintang di sini hari ini pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan hampir kesemua sektor perniagaan kembali beroperasi.

Menurut Ka Siong, semua penumpang pengangkutan awam di negara ini diwajibkan untuk memakai topeng muka selain mengamalkan penjarakan sosial.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga dapati setiap orang yang masuk ke stesen MRT akan disaring suhu badan.

“Kita ada kuasa untuk tidak membenarkan penumpang daripada menaiki pengangkutan awam sekiranya mereka tidak memakai topeng muka atau bersuhu tinggi.

“Penumpang juga perlu tegur penumpang bersebelahan jika tidak menjarakan sosial selain ada polis bantuan yang memantau di dalam tren,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Nizam Alias berkata, kebiasaan sebelum tempoh PKP, MRT beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam dengan waktu puncak antara jam 7 hingga 9 pagi dan 5 hingga 7 malam.

Menurutnya, kini tempoh waktu puncak itu dipanjangkan dan frekuensi kekerapan tren dipertingkatkan di antara tiga hingga enam minit bergantung kepada laluan.

“Kita juga galakkan majikan untuk mengamalkan waktu kerja anjal supaya pekerja dapat datang lewat sedikit,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!