Perak perlu segerakan pakej rangsangan ekonomi

Nordin Abdul Malek
Nordin Abdul Malek
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak perlu menyegerakan pakej rangsangan ekonomi bagi memastikan perkembangan ekonomi yang terkesan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19) dapat kembali pulih.

Pengerusi Gabungan Institut Latihan Kemahiran Bumiputera Swasta (GILBKS), Nordin Abdul Malek berkata, ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat beberapa industri khususnya pelancongan dan perhotelan yang terkesan dengan begitu teruk.

Menurutnya, keadaan itu memberikan gambaran bahawa kerajaan negeri perlu merangka segera strategi ekonomi bagi menjana pendapatan rakyat dan negeri.

"Sebelum ini, kerajaan negeri banyak membuang masa dengan menyelesaikan kemelut politik bermula selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hingga sekarang yang sedikit sebanyak mengganggu pentadbiran kerajaan untuk membangunkan negeri.

"Dalam tempoh yang ada ini, tumpuan harus diberikan kepada pembangunan ekonomi negeri kerana kesan Covid-19 sangat serius. Pakej rangsangan ekonomi perlu segera diumumkan," katanya kepada Sinar Harian.

Nordin berkata, Perak amat memerlukan pakej rangsangan ekonomi sendiri kerana perlu mengguna pakai kekuatan dan kelebihan sektor-sektor yang menjana ekonomi negeri sebagai contoh pertanian, pendidikan, mineral dan sebagainya.

Katanya, sektor pertanian dilihat antara yang terpenting untuk diberikan keutamaan kerana kegagalan menguruskan sektor itu akan memberi kesan kepada keterjaminan makanan sekali gus menyebabkan harga makanan meningkat.

Jelas beliau, rangka pakej rangsangan itu juga perlu melihat kepada kebiasaan baharu, tempoh PKP dan pasca Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Pakej rangsangan ini perlu dilakukan dengan pergerakan kecairan peruntukan serta-merta tanpa ada banyak kerenah birokrasi. Fokus pakej rangsangan ini perlu kepada sektor-sektor penting yang bukan sahaja perlu merancakkan sektor ekonomi tetapi menjaga kebajikan sosial rakyat Perak.

"Bagi saya, Pakej Rangsangan Ekonomi Perak perlu diumumkan selewat-lewatnya pertengahan Mei bagi memastikan ekonomi dapat dipulihkan segera," katanya.

Nordin berkata, penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP sebelum ini memberikan impak kepada tiga isu besar iaitu keselamatan kesihatan, keselamatan kebolehpasaran pekerjaan dan keterjaminan makanan.

Katanya, inisiatif yang boleh dicadangkan adalah menggerakkan serta-merta insentif pertanian bagi menggalakkan generasi muda menceburi bidang tersebut seperti membuka ladang baharu untuk meningkatkan kapasiti sedia ada.

Menurutnya, kerajaan negeri juga dicadangkan untuk menyediakan pakej-pakej latihan kepada usahawan dan pekerja yang diberhentikan supaya rakyat boleh mengubah cara kerja mereka mengikut kesesuaian semasa.

"Sediakan insentif kepada usahawan kerana kebanyakan mereka mengalami masalah kekurangan modal seperti dengan memperkenalkan skim mikrokredit atau pemberian geran 'one-off' terutama kepada sektor penting seperti pertanian, makanan, kesihatan, pengangkutan dan sebagainya.

"Pengecualian sewa dan cukai pihak berkuasa tempatan (PBT) juga boleh dipertimbangkan dalam tempoh enam bulan untuk membolehkan golongan usahawan kembali bangkit segera.

Dalam pada itu, Nordin mencadangkan agar pakej latihan semula perlu dibuat oleh pusat latihan swasta supaya dalam masa yang sama perbelanjaan melibatkan pusat latihan swasta boleh menggerakkan pakej rangsangan ekonomi.

Katanya, kerajaan negeri mungkin boleh perkenal baucar latihan kepada kumpulan-kumpulan yang terkesan dan memerlukan latihan kemahiran tertentu.

Beliau berkata, dengan adanya pelbagai insentif di dalam pakej rangsangan ekonomi itu sekali gus dapat mengekalkan golongan muda khususnya bekerja di dalam negeri.

Sekiranya kerajaan Perak tidak mempunyai peruntukan kewangan mencukupi, Nordin mencadangkan agar kerajaan negeri meminjam wang daripada kerajaan Persekutuan bagi memastikan pakej rangsangan ekonomi tersebut berjaya dilaksanakan.