Kedai makan boleh dikenakan tindakan jika pelanggan degil

ROSLEE
ROSLEE
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemilik kedai makan boleh dikenakan tindakan sekiranya pelanggan mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan dan pengawasan sekerap mungkin sepanjang tempoh tersebut bagi memastikan pemilik kedai makan mematuhi SOP terutama di kedai makan yang menjadi tumpuan orang ramai.

Sehubungan itu katanya, mana-mana pihak diingatkan tidak terlalu memandang ringan terhadap kelonggaran diberikan kerana tindakan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih relevan.

"Hanya empat pelanggan dibenarkan duduk semeja dan sekiranya didapati ada pelanggan yang tidak mematuhi SOP ditetapkan, tindakan undang-undang akan dikenakan bukan hanya kepada pelanggan malah pemilik kedai makan tersebut.

"Pemilik kedai makan wajib memastikan pelanggan masing-masing mengikut penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter kerana mereka perlu tahu kita sebenarnya masih dalam tempoh PKP fasa empat iaitu sehingga 12 Mei depan, jadi tindakan undang-undang kerana ingkar PKP masih boleh diambil," katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Bagaimanapun, Roslee berkata, sekatan jalan raya akan dikurangkan daripada 49 sekatan yang dilakukan sebelum ini kepada 20 sahaja sepanjang pelaksanaan PKPB ini hanya dilaksanakan di laluan sempadan negeri atau daerah di negeri ini.

"Anggota yang sebelum ini terlibat dalam penugasan sekatan jalan raya akan ditugaskan melakukan rondaan dan pemantauan di kedai-kedai makan atau pasar raya yang menjadi tumpuan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Roslee turut mengingatkan semua pihak berhati-hati dengan perkembangan semasa berikutan Covid-19 belum pulih sepenuhnya, terutama golongan berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak dengan mengelak ke lokasi tumpuan ramai.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan cuma memberi kelonggaran bagi memberi peluang kepada rakyat untuk bangkit kembali terutama dalam sektor kewangan," katanya.

Sementara itu, Roslee berkata, statistik jenayah di negeri ini menunjukkan penurunan sepanjang tempoh PKP fasa satu, dua dan tiga kecuali jenayah komersial yang mencatatkan peningkatan 30 peratus terutama melibatkan sindiket Macau Scam dan e-belian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!