Johor laksana PKPB ikut kesesuaian, kemampuan: Hasni
ISKANDAR PUTERI - Johor bersetuju mengikut langkah kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai hari ini, tetapi dengan sedikit pengubahsuaian dan mengikut kemampuan.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, keputusan itu diputuskan hari ini menerusi satu mesyuarat melibatkan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dengan pelbagai agensi berkaitan.
"Kita baru umumkan hari ini kerana mahu memberikan setiap agensi melakukan persiapan selain tidak mahu tergopoh-gapah dalam membuat keputusan. Kita perlu kerjasama semua pihak agar tidak terlepas pandang.
"Bagaimanapun PKPB di Johor akan dilaksanakan mengikut keupayaan dan dengan beberapa pengubahsuaian mengikut kemampuan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini," katanya pada sidang akhbar di Kota Iskandar di sini hari ini.
Katanya, PBT akan menentukan standard prosedur operasi (SOP) masing-masing dan berhubung terus dengan sektor ekonomi di kawasan masing-masing.
"Contohnya di kawasan seperti di Pasir Gudang sektor ekonomi membabitkan perkilangan dibuka sepenuhnya, namun di Kota Tinggi, PBT di sana mungkin hanya memberi kebenaran kepada sesetengah industri berdasarkan kemampuan mereka membuat penguatkuasaan," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri akan memberi tumpuan yang lebih terhadap soal kawalan sempadan kerana berjiran dengan Singapura dan pada masa Johor mempunyai laluan perhubungan antarabangsa yang banyak.
"Walaupun Johor melaksanakan PKPB, namun kemasukan rakyat Malaysia dari Singapura masih perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebelum ini di mana mereka akan dikuarantin di pusat yang telah disediakan.
"Kita masih hadkan kemasukan pekerja Malaysia di Singapura. Ketika ini kemasukan semakin kurang bawah 400 orang sehari berbeza dengan awal penularan Covid-19," katanya.
Jelasnya, semasa awal penularan Covid-19 direkodkan seramai 37,000 rakyat Malaysia berada di Singapura namun jumlah berkenaan sudah berkurangan ketika ini.
Tambahnya, bukan sahaja rakyat Malaysia di Singapura tetapi semua yang masuk ke negeri ini akan dikuarantin selama 14 hari sepanjang tempoh PKPB dan tidak membenarkan kuarantin sendiri di rumah kerana Johor mempunyai pusat kuarantin yang mencukupi.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya sedang membangunkan satu aplikasi iaitu dikenali sebagai 'Jejak Johor' bagi tujuan pemantauan situasi dan perkembangan pelaksanaan PKPB yang akan dimaklumkan dalam waktu terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!