Pesara rugi RM25,000, wang dalam dua akaun bank lesap
KUALA TERENGGANU - Seorang pesara terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM25,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang memaklumkan mangsa terlibat dalam kes perbankan wang haram semalam.
Wanita berusia 60-an itu menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai 'Inspektor Wati' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintenden M Zambri Mahmud berkata, mangsa cuba menafikan dakwaan 'anggota polis' itu tetapi suspek tetap mengarahkan mangsa membuka akaun bank baharu dan memindahkan semua wang tersebut bagi mengelakkan di senarai hitam.
"Mangsa diminta berbuat demikian secepat yang mungkin bagi mengelakkan ditangkap polis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
M Zambri berkata, panik mendengar penjelasan itu, mangsa tanpa berfikir panjang terus mendedahkan semua maklumat peribadi termasuk akaun bank baharunya.
"Bagaimanapun, beberapa jam kemudian mangsa tergerak hati untuk melakukan semakan baki dua akaun bank miliknya dan terkejut mendapati wang di dalam kedua-dua akaun banknya sudah dipindahkan ke dalam akaun lain yang tidak diketahui," katanya.
Menurutnya, mangsa menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
"Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika disabitkan kesalahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!