Jadikan al-Quran teman, bukan perhiasan
KUALA TERENGGANU – Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berharap semua anggota pasukan itu yang beragama Islam dapat menjadikan al-Quran sebagai teman harian mereka, bukan sekadar perhiasan semata-mata.
Menurut Roslee, kitab suci umat Islam itu harus dibaca bersama terjemahannya setiap kali selesai menunaikan kewajipan solat lima waktu atau sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi mendapat ganjaran dan manfaat.
“Harapan saya al-Quran ini biarlah jadi teman dan amalan mereka tiap kali solat atau sekurang-kurangnya setiap hari Jumaat, semoga ia memberi manfaat dan bukan sebagai perhiasan.
“Al-Quran ini juga hendaklah dibaca selalu, kalau boleh selesai selesai solat fardu bacalah sekurang-kurangnya satu muka surat bersama terjemahannya, barulah kita memahami isi kandungan al-Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menerima 1,500 naskhah al-Quran oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Karangkraf di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Penyerahan al-Quran wakaf hasil sumbangan orang ramai itu disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Roslee berkata, al-Quran tersebut akan diagihkan kepada pegawai dan anggota polis di negeri ini selain turut ditempatkan di surau balai polis sebagai kemudahan mereka membaca kitab suci berkenaan.
“Jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi sumbangan ikhlas menjadikan al-Quran sebagai wakaf, semoga ALLAH SWT memberikan ganjaran sewajarnya di akhirat nanti,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Nasir mengalu-alukan orang ramai menyertai projek wakaf al Quran yang turut mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV AlHijrah, Sinar dan Ideaktiv.
Menurut beliau, sasaran agihan adalah kepada hospital-hospital, pejabat polis dan lain-lain lokasi terpilih di seluruh negara.
“Agihan al-Quran wakaf sumbangan orang ramai ini akan mengaktifkan #QuranCorner atau mengisi Troli Ibadah di lokasi terpilih di seluruh negara dan boleh dimanfaatkan semasa penganjuran program World #QuranHour yang akan diadakan pada 20 Ramadan bersamaan 13 Mei nanti.
“Al-Quran terjemahan terbitan Karya Bestari jenis Multazam Bil Hadis atau Al-Haramain ini dibuka untuk tujuan wakaf tersebut dengan harga RM40 senaskhah.
“Semalam, kita sudah agih 1,500 naskhah al-Quran wakaf kepada IPK Kelantan dan hari ini dua lagi IPK iaitu Terengganu dan Pahang juga menerima 1,500 al-Quran. Projek wakaf ini masih berjalan jika ada yang mahu berwakaf,” katanya.
Wakaf al-Quran untuk Ummah ini boleh dibuat melalui bayaran ke akaun Maybank 5642 7651 6031 atas nama Warisan Ummah Ikhlas Foundation.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!