Boleh 'dine in' tapi masih ramai pilih 'take away'

Pelanggan sebuah kedai makan mengikut peraturan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) setelah beberapa sektor perniagaan dan pengangkutan dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bermula hari ini. - Foto Bernama
Pelanggan sebuah kedai makan mengikut peraturan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) setelah beberapa sektor perniagaan dan pengangkutan dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bermula hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun premis makanan dibenarkan beroperasi secara ‘dine in’ atau makan di dalam restoran susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mula berkuat kuasa hari ini, rata-rata pengusaha kekal dengan konsep bungkus dan bawa balik.

Tinjauan Bernama di sekitar ibu negara seperti di Kampong Bharu mendapati beberapa premis makanan yang dibuka hanya menjual makanan untuk dibungkus dengan kelihatan ramai penghantar makanan bersedia menunggu melaksanakan tugas-tugas penghantaran.

Begitu juga di Titiwangsa dan Sentul apabila terdapat restoran makanan segera yang masih belum ‘membuka pintu’ kepada orang ramai untuk makan di dalam premis dan hanya membenarkan perkhidmatan secara secara pandu lalu dan penghantaran.

Walaupun begitu, didapati hampir kesemua peniaga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu melakukan jarak sosial serta para pekerja juga turut memakai penutup hidung dan mulut.

Menerusi temu bual secara rawak dengan Bernama, ada antara peniaga berkata mereka memilih untuk kekal dengan kaedah lama berikutan masih bimbang dengan penularan jangkitan koronavirus (Covid-19), belum bersedia mematuhi SOP yang agak ketat selain kehadiran pelanggan yang kurang lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kedai mamak dan restoran di sekitar Setapak dan Kampong Bharu yang dilihat beroperasi secara ‘dine in’, dan rata-ratanya mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Meja-meja disusun semula dengan jarak kira-kira dua meter antara satu meja dengan meja yang lain dengan satu meja boleh diduduki dua orang.

Pembantu restoran turut dilihat menyediakan satu meja khas bagi para pelanggan mengisi butiran peribadi seperti nama dan nombor telefon mereka selain turut melakuan saringan suhu badan sebelum dibenarkan masuk.

Artikel Berkaitan:

Turut disediakan ialah garisan di lantai depan kaunter bayaran bagi memastikan pelanggan berada dalam jarak satu meter antara satu sama lain ketika beratur membuat bayaran.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mana-mana premis perniagaan atau kilang yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) ketika beroperasi dalam tempoh PKPB akan dikenakan tindakan tegas, termasuk penutupan premis berkenaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!