Ramai serbu kedai pajak gadai
IPOH - Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyaksikan orang ramai mula menyerbu kedai pajak gadai di beberapa lokasi sekitar bandar raya itu.
Tinjauan Sinar Harian di Jalan CM Yusuff di sini, mendapati orang ramai beratur sejauh 100 meter hanya untuk menyelesaikan urusan di premis kecil itu.
Seorang ibu tunggal yang mahu dikenali sebagai Sarah, 54, berkata, pengumuman kerajaan yang membenarkan semua sektor kembali beroperasi memberi peluang untuknya menyelesaikan beberapa urusan yang tertangguh.
Menurutnya, dia menggunakan waktu rehat untuk melanjutkan tempoh bagi menebus barang kemas yang digadainya Februari lalu.
"Saya beratur lebih sejam sejak jam 1 petang untuk sambung tempoh surat gadai ini. Dah lama nak buat tapi kedai tutup sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Bila kerajaan kata semua kedai boleh beroperasi, saya mahu selesaikan kerana surat ini sudah tamat tempoh," katanya.
Dia yang bekerja sebagai tukang cuci di pejabat kerajaan itu tekad untuk selesaikan urusan itu meskipun waktu rehatnya hampir tamat.
"Dah beratur lama, bayang kedai pun tak nampak lagi. Saya kena teruskan juga sebab kalau tangguh esok, mungkin saya kena bayar lebih atau mungkin barang saya tidak boleh ditebus lagi.
"Waktu PKP ini memang terasa juga dan wang hasil gadai itu sedikit sebanyak dapat menampung untuk bayar sewa dan makanan. Ada mohon bantuan sebelum ini tapi masih belum terima apa-apa," katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah berusia 37 tahun mengambil peluang sama untuk menebus dua bentuk cincin yang digadainya tahun lalu.
"Saya terkejut apabila ramai yang beratur depan kedai ini sedangkan saya mahu tebus cincin sahaja. Alang-alang sudah keluar, saya teruskan juga walaupun sudah sejam beratur.
"Bagaimanapun, saya tetap ambil langkah selamat dengan pakai topeng muka dan jaga penjarakan sosial. Apabila sudah kumpul ramai-ramai ini, kita tidak mahu jangkitan itu berlaku," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!