Bapa Altantuya beri keterangan kes saman pembunuhan anaknya
SHAH ALAM - Bapa model Mongolia Altantuya Shaariibuu, Shaariibuu Steve akan memberi keterangan minggu depan berhubung saman RM100 juta berkaitan pembunuhan anaknya, 13 tahun lalu.
Peguam, Sangeet Kaur Deo berkata, Setev merupakan saksi pertama yang dipanggil memberi keterangan dalam saman berkenaan pada Selasa atau Rabu depan.
"Beliau akan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas permohonan 'discovery application' kita didengar," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Menurutnya, perbicaraan itu akan dijalankan di hadapan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera selama dua minggu bermula Selasa depan.
Saman itu difailkan Setev dan anak Altantuya pada 2007, terhadap kerajaan Malaysia, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, bekas pegawai polis, Azilah Hadri dan bekas Koperal Sirul Azhar Umar.
Pada 2009, Azilah dan Sirul Azhar adalah pegawai keselamatan Datuk Seri Najib Razak yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu didapati bersalah atas tuduhan membunuh Altantuya tiga tahun sebelum itu.
Kedua-duanya dibebaskan pada 2013, Sirul kemudian melarikan diri ke Australia dan seterusnya ditahan di pusat tahanan Sydney Villawood sejak itu.
Pembebasan mereka ditarik semula oleh Mahkamah Persekutuan dan hukuman mati disabitkan semula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!