Al-Quran pupuk ketakwaan kepada ALLAH
GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang hari ini menerima 1,500 naskhah al-Quran yang menerusi Program Wakaf Quran Mu'Jam yang digerakkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, pihaknya terharu atas keprihatinan WUIF yang memilih Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang untuk menerima sumbangan wakaf berkenaan.
Menurutnya, kitab suci al-Quran boleh dijadikan panduan dalam membentuk ketakwaan kepada ALLAH dan berharap pemberian wakaf al-Quran itu dapat dimanfaatkan oleh seluruh pegawai dan anggota PDRM.
"Malah dalam menghadapi situasi mencabar ketika ini, naskhah al-Quran yang diberikan boleh dijadikan teman untuk memberi ketenangan dan semangat terutamanya dalam menguatkan spiritual dan rohani," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan al-Quran wakaf di pejabatnya di sini hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Mohd Taufek Abdul Rahman.
Sahabudin berkata, kesemua naskhah al-Quran yang diterima akan diedarkan kepada semua bahagian serta lima Ibu Pejabat Daerah (IPD) di negeri dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!