Demi nusa dan bangsa
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu menyebabkan penjaga gol Pahang Rangers, Rahimi Shatar terpaksa berkorban apabila berpisah dengan dua anak dan isteri hampir dua bulan.
Ditambah tanggungjawab dan komitmennya sebagai anggota bomba dan barisan depan yang diamanahkan menjaga keselamatan awam di waktu kritikal ini, Rahimi berpendapat berjauhan adalah solusi terbaik buat sementara waktu.
Tetapi jauh di sudut hati, bapa mana tidak ingin peluk cium anak dan melihat si kecil membesar di depan mata.
“Saya hantar isteri balik kampung (Pasir Putih) pada awal cuti sekolah bulan Mac. Masa tu kita tengah prepare (bersiap) untuk first game MPFL (Malaysia Premier Futsal League) lawan Sarawak, jadi tak dapat ikut balik sekali dan rancang nak ambil balik selepas perlawanan lawan Kedah (20 Mac).
“Tetapi selepas game lawan Sarawak FAM umum liga ditangguhkan, tak sempat balik ambil dah PKP pula jadi terkandas sampai ke sekarang dah dekat tujuh minggu, dan dengan keadaan semasa mungkin kena tunggu lebih lama, tak tahu boleh beraya bersama atau tidak.
“Tak nafi memang dah terlalu rindu dekat anak isteri, mak ayah kat kampung pun dah lama tak jumpa. Biasa paling tidak dua bulan sekali mesti balik jumpa mereka, tapi sebab bulan Mac hari tu memang padat dengan aktiviti pasukan serta komitmen kerja.
“Apapun, saya banyak bersabar, cuba positif fikir ini untuk kebaikan mereka, kebaikan orang ramai. Saya ikut arahan MKN (Majlis Keselamatan Negara) mengenai PKP, SOP, tak boleh rentas negeri.
“Semua ni untuk kebaikan, memang perancangan untuk balik ambil anak isteri itu ada, kalau saya dapat balik sekalipun, saya kena fikir apa jadi kalau saya adalah pembawa virus dengan kerja saya sebagai bomba terdedah kepada risiko. Saya tidak boleh pentingkan diri, jadi demi keluarga dan orang ramai, saya anggap ini satu pengorbanan,” ujar Rahimi dengan nada sebak.
Rahimi juga sedar ramai lagi mengalami nasib sama sepertinya dan menasihatkan mereka agar terus bersabar dan banyakkan berdoa agar penularan wabak Covid-19 dapat dibendung.
Bercerita mengenai tugasan sebagai anggota bomba ketika PKP sudah memasuki fasa keempat, Rahimi berkata, “Jabatan Bomba di Kuantan hari-hari buat sanitasi di tempat-tempat hot spot. Ia sudah bermula sejak hujung Mac dan diteruskan pada Ramadan. Sekarang ni terbaru untuk pemindahan pelajar, bank-bank, masjid, kaki lima, hari-hari terlibat sanitasi.”
Sebagai rekod, Rahimi merupakan produk Piala Presiden Kelantan dan turut pernah menyarung jersi kebangsaan.
Dia mengumumkan persaraan sebagai pemain pada hujung 2018 dan kemudiannya dilantik sebagai jurulatih penjaga gol Pahang Rangers sejak 2019, namun membuat ‘comeback’ tahun ini berikutan kecederaan dialami dua penjaga gol pasukan itu Afiq Abd Rahman dan Zainulzahin Sinuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!