Budak tiga tahun ditemukan lemas
BALING - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemukan lemas dalam Sungai Lubuk Badak, Kuala Kedua di sini pada jam 5 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa, Muhammad Danish Iskandar Abdul Muizz bermain bersama ibu dan adik perempuannya berusia setahun di hadapan rumah mereka sebelum ditemui lemas dalam sungai.
"Ibunya dipercayai meninggalkannya sebentar untuk masuk ke rumah.
"Kehilangan mangsa disedari neneknya yang mendapati mangsa tiada," katanya.
Menurutnya, hasil pencarian, ibunya menemui selipar kanak-kanak itu di tepi sungai di belakang rumah mereka.
"Jarak rumah hanya kira-kira dua meter dari tebing sungai dan ketika ini paras sungai agak dalam berikutan keadaan hujan lebat sejak kebelakangan ini," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui di Sungai Lubuk Badak Kuala Kedua oleh orang asli Lubuk Legong dalam keadaan terapung.
"Jarak mangsa dijumpai kurang dua kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh," katanya.
Difahamkan, mangsa menetap di rumah itu bersama ibu dan nenek sejak empat tahun lalu sementara bapanya berniaga air di Alor Setar.
"Kita percaya mangsa terjatuh ke dalam sungai dan siasatan setakat ini mendapati, tiada unsur jenayah.
"Mayat dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!