Kepentingan kesihatan, ekonomi sama penting

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

RAKYAT Malaysia diingatkan jangan lalai dan alpa untuk mengamalkan normal baharu dalam kehidupan seharian kerana peperangan menentang Covid-19 belum berakhir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah seringkali mengingatkan rakyat Malaysia mengamalkan penjarakan sosial, pakai penutup muka di kawasan umum, jaga kebersihan dan elakkan perhimpunan ramai.

Kerjasama semua lapisan masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing adalah sangat penting untuk memastikan Malaysia berjaya menewaskan Covid-19.

Rakyat perlu lebih berdisiplin dalam mengamalkan kehidupan baharu selepas keputusan kerajaan membuka semula sektor ekonomi secara berhati-hati menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam.

Ia mungkin menjadi berita gembira kepada rakyat Malaysia selepas hampir dua bulan ‘terkurung’ di rumah, namun penulis yakin masih ada segelintir rakyat yang bimbang terhadap ‘keselamatan’ diri kerana wabak itu belum berakhir tetapi kita perlu mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

Keputusan kerajaan untuk membuka hampir kesemua sektor ekonomi bukan satu keputusan tergesa-gesa, sebaliknya ia menepati perancangan yang ditetapkan serta memenuhi syarat yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam membendung penularan Covid-19.

Sebenarnya bukan mudah untuk industri beroperasi dengan normal baharu yang menetapkan pelbagai SOP ketat. Mana-mana premis perniagaan atau kilang yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika beroperasi dalam tempoh PKPB akan dikenakan tindakan tegas, termasuk penutupan premis berkenaan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan sektor ekonomi negara perlu dibuka semula demi kepentingan pekerjaan dan melindungi pekerja negara ini.

Artikel Berkaitan:

Stabil

Tengku Zafrul menyatakan banyak negara di dunia berdepan masalah yang sama iaitu pembuangan pekerja kerana banyak syarikat terjejas disebabkan Covid-19.

Katanya, kadar pengangguran negara ketika ini stabil dengan adanya subsidi upah yang diperkenalkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dengan peruntukan RM13.8 bilion.

Bukan mudah bagi kerajaan menyeimbangkan antara perbelanjaan kesihatan dan penjanaan ekonomi ketika pandemik global Covid-19 melanda negara.

Dalam sesi temu bual khas baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan hampir RM1.5 bilion disalurkan untuk membantu KKM memerangi Covid-19.

Muhyiddin menjelaskan, kerajaan tiada pilihan selain mendukung usaha dilakukan pihak industri dan perniagaan.

“Ini bagi memastikan rakyat yang sudah diambil bekerja dalam semua sektor baik kecil, sederhana atau besar mesti dapat pertahankan kedudukan mereka. Itu menjadi keutamaan saya,” katanya.

Malaysia kini mempunyai lebih banyak kawasan zon hijau berbanding zon merah. Kejayaan itu adalah hasil usaha dan kerjasama semua pihak yang amat berdisiplin.

Teruskan usaha ini agar kita dapat ‘menghijaukan’ lebih banyak kawasan terjejas secepat yang boleh. Kita perlu berdepan cabaran tetapi hanya dengan bersatu kita mampu menang dalam ‘peperangan’ ini.

Sesungguhnya isu kepentingan kesihatan dan ekonomi saling berkait, namun apa yang menjadi keutamaan kini adalah untuk mencari solusi terbaik bagi menyelamatkan nyawa manusia dan dalam masa sama memastikan ekonomi seharian rakyat tidak terhenti berterusan.

Justeru, langkah-langkah proaktif perlu diperkasakan untuk memastikan kesihatan rakyat Malaysia tidak dipinggirkan.

Janganlah kita khuatir kerana segala tindakan dan keputusan kerajaan pastinya melalui perbincangan mendalam bersama KKM dan kementerian berkaitan dalam usaha mencari jalan mengimbangi keperluan untuk membendung wabak Covid-19 dan juga memulihkan ekonomi negara.

* Ahmad Ismadi Ismail ialah Wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!