Kenangan jual kerang bulan Ramadan
Ipoh - Setiap kali tibanya bulan Ramadan, ia tentunya mengimbau kenangan yang tidak dapat dilupakan terutama ketika zaman kanak-kanak.
Tidak terkecuali penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias yang turut berkongsi kemeriahan sambutan Ramadan ketika zaman kecilnya yang jauh berbeza jika dibandingkan dengan kanak-kanak zaman moden yang lebih suka menghabiskan masa bermain gajet.
Menurutnya, antara kenangan yang masih kekal dalam ingatannya adalah permainan Combat polis dan pencuri iaitu permainan tembak-menembak antara pasukan polis dan kumpulan penjahat.
“Main 'police and thief' ini kenangan saya pada bulan Ramadan di Batu Kurau. Orang Perak panggil main Aci Se. Satu geng jadi polis, satu geng lagi jadi orang jahat.
“Kalau jadi orang jahat, kami lumurkan badan dengan minyak supaya polis susah nak tangkap dan biasanya kami main selepas solat tarawih,” katanya kepada Sinar Harian di Pusat Pendidikan Al-Barakah, Manjoi di sini semalam.
Mohd Kazim berkata, dalam kumpulan tersebut, beliau yang paling kecil iaitu berusia enam tahun, manakala yang lain semuanya sudah bersekolah termasuklah abang-abangnya.
Katanya, selain itu dia turut membantu keluarga berniaga kerang rebus dan ubi sengkuang di Batu Kurau pada bulan Ramadan.
“Waktu itu kehidupan kami sekeluarga susah kerana bapa yang menjadi ketua keluarga meninggal dunia. Saya dan adik-beradik masih kecil.
“Jadi saya yang ketika itu berusia enam tahun turut sama bantu keluarga menjual kerang rebus dan ubi sengkuang untuk menambah pendapatan,” katanya.
Katanya, aktiviti jualan tersebut menjadi tradisi keluarganya setiap kali Ramadan dan kebiasaannya jemaah masjid singgah makan selepas solat tarawih.
“Menariknya kedai kami buka hanya ketika Ramadan dan menunya itu sahaja (kerang rebus dan ubi sengkuang) selain air,” katanya sambil tersenyum.
Mohd Kazim yang juga pengasas Pusat Pendidikan Al-Barakah berkata, semua kenangan tersebut ada dimuatkan dalam beberapa buah buku hasil nukilannya, antaranya Dari Denai Kampung ke Pentas Dakwah dan Air Mata Dakwah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!