Amal solat sunat bersama keluarga sebelum bersahur
SHAH ALAM - “Ketika bangun untuk menyediakan sahur, ambil peluang untuk mendirikan solat sunat terlebih dahulu. Sekejap pun tak mengapa.”
Demikian perkongsian Perunding Keluarga dan Remaja, Siti Fatahiyah Mahamood mengenai amalan biasa dilakukannya sepanjang Ramadan iaitu merebut peluang mendirikan solat-solat sunat selain solat fardu, solat tarawih dan solat witir.
“Ambillah peluang untuk beribadat kepada ALLAH SWT pada sepertiga malam kerana terdapat banyak fadilatnya. Kebiasaannya sebelum bersahur, saya dan keluarga akan sama-sama mendirikan solat tahajud dan solat sunat yang lain.
“Kemudian kami akan sama-sama bersahur. Anak-anak biasanya bersahur dengan nasi dan lauk yang disediakan, manakala saya akan makan roti atau tamar dan mengambil vitamin tambahan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Siti Fatahiyah berkata, al-Quran dan Ramadan tidak dapat dipisahkan, justeru walau sibuk atau letih, pastikan ada masa untuk membaca dan tadabbur al-Quran.
“Kalau kita boleh sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti di media sosial, jangan lupa selitkan di celah kesibukan itu untuk membaca al-Quran dan tadabbur.
“Biasanya, setiap kali selepas solat Maghrib, kami sekeluarga akan sama-sama membaca al-Quran. Suami akan menceritakan peristiwa-peristiwa yang ada kaitan dengan ayat-ayat yang dibaca secara santai,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anak-anak yang sedang bercuti ditugaskan bergilir-gilir untuk melaungkan azan apabila tiba waktu solat.
“Mereka akan bergilir-gilir menjadi imam selain si ayah. Ini adalah antara aktiviti latihan dalam realiti yang kami jalankan,” katanya.
Siti Fatahiyah turut menasihatkan umat Islam menjadi insan yang bijaksana dan tenang dalam menjalani kehidupan ketika PKP.
Menurutnya, normal baharu yang sedang dilalui ketika ini seharusnya menjadikan kehidupan lebih berkualiti, selain membantu mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Pastikan kita turut menjaga amanah dan melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa, anak, murid atau staf yang bekerja ketika PKP.
“Jangan sampai kita terleka dengan sesuatu tanggungjawab sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain. Jadikan amalan dan ibadat pada Ramadan kali ini adalah yang terbaik,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!