Empat kontena tapak pembinaan musnah terbakar
KUALA LUMPUR - Empat kontena termasuk dua yang dijadikan tempat tinggal pekerja di tapak pembinaan Agile Mont Kiara, Jalan Duta di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba, Nurul Jumaatullaily Nadirah Ibrahim berkata, kebakaran melibatkan empat buah kontena di tapak pembinaan melibatkan dua buah kontena dijadikan tempat tinggal pekerja pembinaan, sebuah kontena dijadikan setor simpanan dan sebuah lagi dijadikan kantin.
"Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan jam 1.02 pagi," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata kejadian bagaimanapun tidak melibatkan mangsa.
"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.15 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!