Sultan Selangor zahir ucapan takziah kepada keluarga Koperal Safwan
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail.
Sultan Sharafuddin dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan tragedi yang menimpa Allahyarham Safwan sebagai suatu pengorbanan yang amat mulia di sisi agama, bangsa dan negara.
“Beta berdukacita dan kesal atas tragedi yang menimpa Allahyarham akibat dilanggar oleh pemandu mabuk ketika Allahyarham sedang menjalankan tugas menjaga keselamatan rakyat.
"Beta memandang berat kes kemalangan cuai sebegini dan berharap si pelaku akan dikenakan hukuman yang setimpal,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut berharap waris dan ahli keluarga Allahyarham Safwan terus tabah menerima ketentuan berkenaan.
Dalam kejadian jam 2.11 pagi Ahad lalu, Allahyarham Safwan,31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu pemandu disyaki mabuk dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) di Kajang.
Susulan rempuhan itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit turut terbalik dan menghempap mangsa yang ketika itu bertugas di sekatan jalan raya Op Covid-19 berhampiran plaza tol berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!