Peratusan kehadiran penjawat awam ketika PKPB berpadanan
PUTRAJAYA - Peratusan kehadiran penjawat awam pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berpadanan dan tidak seperti digambarkan sesetengah pihak.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, berdasarkan laporan yang diterima, kehadiran penjawat awam di antara 15 peratus hingga 35 peratus berdasarkan catatan kementerian dan jabatan masing-masing.
Bagaimanapun katanya, peratusan kehadiran akan berubah mengikut masa dan keperluan tanpa menjejaskan prinsip asas dan objektifnya.
"Data berkenaan menunjukkan ketua jabatan berusaha meminimumkan kehadiran kakitangan ke pejabat dengan opsyen bekerja dari rumah," katanya.
Menurutnya, pendekatan bekerja dari rumah dan mengikut waktu fleksibel digalakkan ketika dalam tempoh ini sebagai usaha berterusan membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Bagaimanapun katanya, semua kementerian dan jabatan perlu memastikan sistem penyampaian kerajaan berfungsi sepenuhnya.
Mohd Khairul Adib berkata, budi bicara ketua jabatan menguruskan sumber manusia di pejabat dibenarkan bagi memastikan sistem penggiliran dapat dikawal selia bagi menjamin penyampaian perkhidmatan berterusan.
"JPA juga berharap semua pihak yang berurusan dengan pejabat kerajaan dapat mematuhi norma baru melalui garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kementerian dan jabatan berkaitan dalam urusan mereka di pejabat kerajaan," katanya
Semalam, Sinar Harian melaporkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) melahirkan rasa terkejut apabila mendapati kehadiran penjawat awam ke pejabat-pejabat kerajaan sekitar Putrajaya melebihi 60 peratus dalam satu tinjauan.
Presidennya, Adnan Mat berkata, keadaan itu menunjukkan ketua perkhidmatan dan ketua jabatan gagal mengawal pergerakan minimum penjawat awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!