Melaka nafi lima hotel ditutup akibat kesan covid-19
MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri menafikan terdapat lima buah hotel di negeri ini terpaksa mengambil tindakan penutupan akibat kesan koronovirus (Covid-19) yang sedang melanda dunia pada masa ini.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, hotel-hotel yang terletak di bandar Melaka itu bukanlah ditutup kerana kesan ekonomi akibat Covid-19, namun dalam proses penjualan kepada pihak ketiga yang bermula sebelum Covid-19 mahupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan.
"Kita akan berusaha menyelamatkan pekerja perhotelan dan mereka yang terlibat dalam industri pelancongan di negeri ini dan mereka yang diberhentikan itu perlu tampil ke depan kerana setakat ini belum dapat buktikan kesahihan jumlah pekerja terkesan.
"Kerajaan negeri akan berurusan secara baik dengan majikan, kerana kita sedar kesan ini bukan sahaja kepada pekerja namun juga majikan apabila mereka tidak berupaya untuk membayar gaji pekerja," katanya ketika sidang media di Hotel MITC di Ayer Keroh, di sini, malam tadi.
Menurut beliau, terdapat dua hotel yang sedang mengambil keputusan untuk menghentikan operasi mereka memandangkan situasi di luar jangkaan itu bukan hanya menjejaskan pekerja malah majikan turut menimpa impak yang sama.
Bagaimanapun Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) diberikan tanggungjawab untuk mengumpulkan maklumat dan data tepat jumlah pekerja yang terkesan sama ada dibuang kerja serta merta, diberhentikan kerja dan sebagainya.
Muhammad Jailani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia berkata, pihaknya juga akan berhubung dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk mencari kaedah terbaik bagi memastikan kebajikan pekerja yang terkesan mendapat pembelaan selain bercadang untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan itu dalam industri pelancongan selepas Covid-19.
Menurutnya, selain kerajaan persekutuan yang telah mengumumkan beberapa pengecualian cukai, kerajaan negeri juga mewujudkan tabung pembangunan ekonomi bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri ini terutama untuk menyokong semula sektor perhotelan di negeri ini supaya mereka dapat terus membangun dan terus menyumbangkan pendapatan kepada negara.
Katanya, satu strategi dan mekanisme baharu sedang direncanakan menggunakan 'live feed' yang akan diimport dari luar negara bertujuan membantu pelancongan negeri.
"Pada masa sama kita juga sedang mempertimbangkan secara serius pengecualian cukai yang dikenakan ke atas hotel sehingga tempoh pasca Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!