IPOH - Seorang nelayan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas tujuh pertuduhan mengurung, melakukan seks luar tabii dan persetubuhan hingga menyebabkan kecederaan terhadap isterinya serta memiliki video cakera padat (VCD) lucah, pertengahan April lalu. Tertuduh berusia 36 tahun dari Seri Manjung membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru. Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii tanpa kerelaan isteri dengan cara memasukkan zakar ke dalam dubur isterinya. Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Padang Tembak, Lumut antara jam 1 hingga 2 petang dan 8.30 hingga 11.30 malam pada 16 April lalu. Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan. Tertuduh turut didakwa melakukan hubungan seks dengan memasukkan zakar palsu ke dalam kemaluan isterinya yang berusia 36 tahun tanpa kebenaran. Kesalahan itu dilakukan di rumah yang sama antara jam 8.30 hingga 11.30 malam pada 16 April lalu dan antara jam 9 hingga 10 pagi pada 17 April lalu. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 377(CA) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan. Tertuduh yang telah memiliki tiga anak turut berdepan tuduhan di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan kerana telah menyebabkan kecederaan kepada isterinya untuk mengadakan persetubuhan dengannya. Kesalahan itu dilakukan di rumah yang sama antara jam 8.30 hingga 11.30 malam pada 16 April lalu dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun. Tertuduh turut didakwa atas kesalahan mengurung isterinya dengan salah di lokasi yang sama antara jam 1.30 tengah hari pada 16 April sehingga 12 tengah hari pada 18 April lalu. Sehubungan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 340 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum Seksyen 342 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Di kamar sama, tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana memiliki 13 keping VCD lucah yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Terdahulu, Naidatul Athirah memohon agar tiada sebarang jaminan dikenakan kerana mangsa merupakan isteri tertuduh dan dikhuatiri akan menyebabkan kacau ganggu kerana tinggal serumah. Mahkamah kemudian menetapkan 8 Mei ini sebagai tarikh jatuh hukum dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM32,500 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.