PKPB hari pertama terkawal, tahniah rakyat Malaysia!
PUTRAJAYA - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada hari pertama semalam dilaporkan berjalan lancar serta terkawal.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati terdapat peningkatan pergerakan dari segi jumlah kenderaan serta individu yang keluar.
Bagaimanapun katanya, keadaan masih terkawal dan orang ramai menunjukkan kawalan kendiri yang tinggi walaupun terdapat anggapan bahawa pada hari pertama PKPB ini akan menjadi kelam kabut.
"Malah, jangkaan bahawa premis-premis perniagaan akan sesak dan tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial juga jelas meleset.
"Hasil laporan pemantauan mendapati premis-premis perniagaan mengamalkan SOP yang ditetapkan seperti memeriksa suhu badan, menyediakan cecair pembasmi kuman, menghadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa dan memastikan pelanggan beratur di luar premis di dalam jarak sosial yang dibenarkan iaitu satu meter," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, pihaknya turut menerima laporan ada pengusaha restoran yang mengambil nama pelanggan untuk tujuan pengesanan kontak jika terdapat kes positif koronavirus (Covid-19).
Selain itu katanya, tinjauan dalam pengangkutan awam seperti MRT dan LRT juga mendapati pengguna mengamalkan penjarakan sosial selain memakai topeng muka.
"Terima kasih dan tahniah kepada orang ramai atas kawalan kendiri dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Kerajaan berharap amalan kawalan kendiri yang tinggi dapat diteruskan sepanjang masa bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!