PH terima Bersatu hanya dengan bersyarat: Anwar
KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) mengambil sikap terbuka untuk menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kembali menyertai pakatan itu pada masa hadapan.
Bagaimanapun, Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, penyertaan kembali Bersatu ke dalam pakatan itu hanya tertakluk kepada kesanggupan parti itu menjunjung agenda perjuangan dibawa PH.
Menurutnya, PH enggan mahu mengulangi kesilapan lalu di mana Bersatu bersikap mengkhianati perjuangan pakatan itu sehingga menyebabkan kerajaan ditadbir jatuh.
"Saya menyedari (Timbalan Presiden Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir ada mencadangkan Bersatu untuk kembali semua menyertai PH.
"Bagi saya, biarlah keputusan itu dibuat oleh Bersatu sendiri memandangkan ada dua (kem) Bersatu sekarang.
"PH bersedia mengambil sikap terbuka untuk menerima Bersatu tetapi parti itu kena benar-benar menjunjung agenda dibawa PH kerana kita tidak mahu mengulangi kesilapan lalu," katanya pada sesi Facebook Live hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mukhriz menyifatkan parti itu perlu kembali bersama PH berbanding Perikatan Nasional berikutan kedudukan kerjasama politik tidak menentu antara Bersatu, UMNO dan Pas.
Beliau melalui kenyataan dalam laman sosial Facebooknya memberitahu bahawa krisis politik, krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang sedang melanda negara ketika ini akan dapat ditangani dengan lebih baik oleh sebuah kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan bapanya yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mukhriz turut menyifatkan pengalaman tidak sampai dua bulan di bawah kerajaan Perikatan Nasional juga sangat pahit bagi Bersatu dan boleh dirasai sehingga ke peringkat akar umbi.
Dalam perkembangan lain, Anwar menggesa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong harus memikirkan kaedah terbaik meminda undang-undang dan mengadakan hukuman lebih keras terhadap orang yang mabuk dan memandu secara cuai.
Dalam kes terbaharu katanya, kematian anggota polis, Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, akibat dirempuh pemandu mabuk dalam satu sekatan jalan raya Op Covid-19 di Kajang, kelmarin perlu diteliti kerajaan dengan lebih serius.
"Kalau ada kelemahan undang-undang, ia mesti diperketatkan.
"Kerajaan harus tegas dan bertindak lebih keras terhadap pemandu mabuk dan cuai dalam memandu. Undang-undang harus dipinda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!