Pendekatan mendidik, nasihat sepanjang PKPB
PETALING JAYA - Polis mengambil pendekatan mendidik dan menasihat masyarakat bagi memastikan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi dengan baik.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sumber manusia yang ada susulan penutupan semua sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah Petaling Jaya adakan digunakan ke kawasan tumpuan orang ramai.
Menurutnya, keanggotaan ini akan digunakan bagi menasihat dan mendidik masyarakat.
"Kita perlu ingat sekarang adalah satu norma baharu. Kita kena lihat dan kaji apa yang sesuai bagi bersama-sama menjayakan PKPB.
"Polis akan aur-uarkan dan menekankan tentang penjarakkan sosial khususnya di kawasan tumpuan seperti pusat beli-belah, pasar raya dan pasar awam. Berkenaan restoran, setakat ini di Petaling Jaya khususnya, hanya beroperasi dengan kaedah 'take away'," katanya kepada pemberita dalam operasi penugasan di Ara Damansara, di sini, hari ini.
Nik Ezanee berkata, setakat ini semenjak PKP bermula 18 Mac hingga kini, tahap pematuhan masyarakat di Petaling Jaya dianggarkan mencapai 90 peratus.
Katanya, penugasan rondaan PKPB yang telah dilaksanakan setakat ini menampakkan keadaan yang baik biar pun masih terdapat segelintir yang gagal mematuhi khususnya dalam penjarakkan sosial.
"Kalau boleh kita tidak mahu tangkap, melainkan sekiranya individu itu bertindak di luar jangkaan seperti melawan dan sebagainya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!