Pub tidak dibenarkan operasi semasa PKPB
KUALA LUMPUR - Pub antara sektor ekonomi yang belum dibenarkan beroperasi pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau mendapat maklumat terdapat pub telah memulakan operasi semalam dan tidak mengamalkan penjarakan sosial.
"Kita perlu buat penjelasan yang pub bukan restoran, kalau restoran (beroperasi) bersama pub, ia juga tidak dianggap sebagai restoran.
"Kita telah buat satu keputusan bahawa pub yang menjual minuman keras dalam kategori belum boleh dibenarkan beroperasi," katanya pada Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.
Menurutnya, perniagaan pub itu dikategorikan sama seperti pusat karaoke dan pusat hiburan yang tidak boleh dibuka.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sebanyak 91 premis telah diperiksa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada hari pertama PKPB dilaksanakan semalam.
"Terdapat 36 kes tiada penjarakan sosial, ini bermakna apabila dibenarkan beroperasi pemiliknya tidak mengamalkan penjarakan sosial.
"Sebanyak 48 premis didapati tiada penanda jarak sosial satu meter dan 28 premis tidak menyediakan hand sanitizer (cecair pembasmi kuman) yang merupakan salah satu prosedur operasi standard (SOP)," katanya.
Katanya, pemeriksaan semalam juga mendapati terdapat juga dalam kalangan pengusaha tidak menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada pekerja.
"Tahap pematuhan SOP itu diharap dapat diperbaiki dan memerlukan kerjasama secara sukarela tanpa perlu dikuat kuasa denda dan arah tutup sepanjang PKPB," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!