Kelantan tidak benarkan 'make colek' di kedai

Pelbagai jenis hidangan yang menjadi pilihan penggemar colek.
Pelbagai jenis hidangan yang menjadi pilihan penggemar colek.
A
A
A

KOTA BHARU - Makan colek atau rojak selepas tarawih di kedai-kedai sudah menjadi satu kemestian di Kelantan namun pada sambutan Ramadan kali ini ‘kemeriahan’ itu tidak dapat dirasakan.

Kelaziman itu tidak dapat diteruskan apabila hari ini kerajaan Kelantan memutuskan untuk tetap tidak membenarkan aktiviti jualan dilakukan pada waktu malam meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa esok.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, waktu urusniaga membabitkan restoran, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan (berbumbung) dan reruai adalah bermula jam 3 hingga 6.30 petang sahaja.

“Kita meraikan makan colek di bulan Ramadan (tetapi) sektor makanan beroperasi bermula jam 3 petang hingga 6.30 petang. Insya-ALLAH selepas Ramadan ini ada SOP lain.

“Begitu juga dengan makan di kedai, ia tidak dibenarkan. Hanya boleh bungkus,” katanya kepada media ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Penggemar colek tidak melepaskan peluang menikmati hidangan istimewa tersebut di bulan Ramadan tahun lalu.
Penggemar colek tidak melepaskan peluang menikmati hidangan istimewa tersebut di bulan Ramadan tahun lalu.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (MKN) Khas Negeri Kelantan Bilangan 10 yang turut dihadiri Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Antara hidangan yang menjadi pilihan setiap kali Ramadan ialah colek ayam, colek perut, kerang, buah campur, colek ‘malah’, popia dan peparu yang dicicah dengan sos masam, manis serta pedas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian juga mendapati sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan peniaga colek masing-masing akur dan tiada kedai atau restoran yang menjual colek di negeri ini dibuka pada waktu malam.

Tinjauan juga mendapati terdapat peniaga mengambil inisiatif menjual menerusi dalam talian dan juga berniaga pada waktu yang telah dibenarkan secara bungkus sahaja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!