Perak kekal larang makan di restoran

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengekalkan keputusan untuk tidak membenarkan orang ramai makan di restoran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti diumumkan sebelum ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, semua pengusaha restoran dan kedai makan perlu akur dengan arahan tersebut sebelum keputusan itu ditarik balik.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang menubuhkan pasukan-pasukan khas di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan di restoran dan premis makanan.

"Kerajaan negeri bertegas bahawa semua pengusaha restoran dan premis makanan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bawah PKPB iaitu mengambil dan merekod suhu badan pekerja sebelum memulakan tugas; kawalan bilangan pelanggan dan penjarakkan sosial; mewajibkan penggunaan pensanitasi tangan atau tempat mencuci tangan dengan sabun; dan pembersihan serta sanitasi.

"Pentadbiran ini juga berpendirian bahawa semua pengusaha restoran dan premis makanan mesti mengambil langkah-langkah persediaan sebelum Kerajaan Negeri memutuskan membenarkan semula pelanggan untuk makan di premis (dine-in)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menegaskan kerajaan Perak menyokong penuh dan amat mengalu-alukan keputusan kerajaan persekutuan untuk membenarkan industri dan aktiviti perniagaan beroperasi secara menyeluruh bermula semalam.

Katanya, bagaimanapun, setelah memperhalusi sektor-sektor yang berisiko tinggi terhadap penularan jangkitan koronavirus (Covid-19), Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri telah memutuskan penangguhan operasi terpilih bagi sektor makanan serta sektor sukan dan rekreasi.

Sementara itu, bagi taman-taman rekreasi awam pula, beliau berkata, kerajaan negeri perlu memastikan pihak PBT bersedia dengan pelaksanaan SOP yang telah ditetapkan di bawah PKPB sebelum ia dibuka.

Artikel Berkaitan:

"Amalan norma lama seperti jumlah pengunjung yang padat di semua taman rekreasi di seluruh Perak pada waktu riadah tidak lagi sesuai untuk diteruskan dalam norma baharu.

"Justeru, kerajaan negeri perlu memastikan PBT mempunyai pasukan penguat kuasa mencukupi untuk ditempatkan di taman-taman rekreasi awam bagi tujuan pemantauan," katanya.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri akan memastikan semua pihak berkepentingan mampu mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan sebelum membenarkan pelanggan makan di restoran atau premis makanan dan membuka semula taman-taman rekreasi awam kepada orang ramai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!