Empat lagi Ejen Dallal ditahan, dua masih diburu
ALOR SETAR - Empat lagi ahli sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) etnik Rohingya dikenali sebagai Ejen Dallal ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam operasi berasingan di beberapa lokasi sekitar Kedah termasuk Kota Sarang Semut, Pendang dan Simpang Empat kelmarin.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zulinda Ramly berkata, kesemua suspek warga Myanmar berumur 24 hingga 53 tahun itu disyaki terlibat sebagai dalang penyeludupan 202 migran etnik Rohingya di perairan Langkawi pada 5 April lepas selepas penahanan dua suspek sebelum ini.
Menurutnya, dua lagi masih diburu yang merupakan dalang utama disyaki masih berada di sekitar kawasan utara semenanjung untuk mengatur kemasukan etnik Rohingya untuk permintaan di Kedah, Pulau Pinang dan Johor.
"Keempat-empat individu ditahan dalam Ops Khas Dallal dilancarkan pada awal April lalu bagi menjejaki rangkaian ahli sindiket yang terlibat dalam urus niaga penyeludupan etnik Rohingya.
"Kita dapat menahan empat lagi suspek selepas melakukan siasatan terhadap dua suspek yang ditahan 16 April dan 18 April lepas di Simpang Empat dan Guar Chempedak," katanya pada sidang media di Pejabat APMM Zon Maritim Kuala Kedah di sini hari ini.
Katanya, kesemua mereka direman bermula 3 Mei lalu selama 14 hari mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan Akta Imigresen 1959/ 63.
ARTIKEL BERKAITAN: Ejen 'Dallal' caj RM15,000 seorang etnik Rohingya masuk Malaysia
Zulinda berkata, siasatan awal mendapati suspek terbabit menggunakan akaun warga tempatan untuk urusan pemindahan wang bagi memastikan etnik Rohingya masuk ke Malaysia.
"Kita masih melakukan pemerhatian mengenai perkara itu, manakala suspek didapati mengenakan bayaran tidak kurang RM15,000 untuk setiap seorang etnik Rohingya bagi urusan masuk ke negara ini," katanya.
Mengulas mengenai dua lagi suspek yang diburu, pihaknya turut mengharapkan kerjasama masyarakat melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dan menegaskan pihaknya tidak akan sesekali berkompromi sekiranya mana-mana pihak didapati melindungi maklumat berkaitan sindiket penyeludupan tersebut.
"Dalam usaha menjejaki dan memerangi rangkaian sindiket PATI secara habis-habisan, orang ramai terutamanya komuniti maritim diingatkan supaya tidak sesekali bersubahat atau melindungi mana-mana dalang atau ejen penyeludup demi keselamatan rakyat dan kedaulatan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!