Ingkar PKP: 62 individu di KL dipenjara, denda
KUALA LUMPUR - Seramai 62 individu termasuk 12 wanita dipenjara antara dua dan empat minggu atau denda antara RM600 dan RM1,000 di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mereka mengaku bersalah bergerak dari satu tempat ke tempat lain melebihi jarak 10 kilometer dari tempat tinggal masing-masing.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua mereka termasuk 13 warga Bangladesh, Vietnam, Myanmar, Indonesia, India dan China dipenjara bermula daripada tarikh ditangkap antara 25 April dan 3 Mei lepas dan akan dipenjara dua minggu hingga satu bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mereka yang berusia antara 19 dan 58 tahun didakwa melakukan perbuatan tersebut di sekitar Kuala Lumpur antara 15 April hingga 3 Mei lepas.
Ketika ditanya Majistret mengapa mereka berada di luar sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berkuat kuasa, mereka mengemukakan alasan seperti berjoging, ingin meminjam baju rakan, berbuka puasa di rumah kakak dan mahu mengambil motosikal.
Kesemua mereka didakwa mengikut Peraturan 6 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Peraturan 3(1) peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.
Di Mahkamah Majistret Ampang pula seorang lelaki berumur 27 tahun dan teman wanitanya berusia 26 tahun didenda RM700 atau sebulan penjara selepas mereka mengaku bersalah ingkar PKP.
Mereka melakukan kesalahan itu di Jalan Besar MRR2 berhadapan Giant Taman Permata di sini pada jam 4.15 pagi, 23 April lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!