SJR terakhir ditamatkan di Shah Alam malam ini
SHAH ALAM - Sekatan jalan raya (SJR) Charlie di Seksyen 7 Shah Alam di sini yang mula beroperasi sejak 18 Mac lalu bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditamatkan mulai tengah malam ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, SJR Charlie mempunyai kekuatan lapan anggota termasuk dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah antara empat SJR utama di Shah Alam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut beliau, SJR berkenaan mempunyai tiga shif anggota bertugas dan dilaksanakan selama 24 jam.
"Secara peribadinya saya sedih bila SJR ini ditamatkan kerana anggota di sini semua seperti keluarga besar yang memastikan agar PKP dipatuhi oleh orang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Iftar 1 Meter anjuran Sinar Harian di sini hari ini.
Pada program tersebut, Sinar Harian turut menyumbang sebanyak 50 naskah al-Quran termasuk menyediakan juadah berbuka puasa kepada anggota bertugas yang ditaja oleh Temerloh Catering.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin.
Dalam pada itu, Baharudin berkata, sepanjang tempoh itu juga kira-kira 98 individu ditahan dan dikenakan tindakan kerana melanggar PKP.
"Apapun SJR ini pada hemat saya, pelaksanaan SJR ini telah mampu mengurangkan kadar jenayah dengan banyak sekali," katanya.
Menurut beliau, selepas SJR itu tamat, pihaknya akan mula melakukan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melalui rondaan anggota ke sekitar daerah tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!