Perbankan Islam perlu ke hadapan

A
A
A

SELESAI sahaja berbuka puasa tanggal 30 April 2020, saya dikejutkan dengan tularnya beberapa status mengenai isu moratorium di mana caj keuntungan terakru bakal dikenakan kepada pelanggan bank.

Pelbagai huraian dan penjelasan mula diberikan oleh orang ramai melalui media sosial dengan pelbagai kehangatan bermula.

Tidak kurang juga kata-kata sinis yang mula dimainkan oleh ahli-ahli politik yang sealiran dan tidak sealiran. Bank Negara Malaysia (BNM), Menteri Kewangan dan bank-bank terutama bank-bank Islam menjadi sasaran utama komentar-komentar tersebut.

Sebenarnya isu itu telah dimainkan seketika selepas diumumkan Perdana Menteri sebagai salah satu pakej yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia bagi menghadapi koronavirus (Covid-19).

Ia berkenaan pembayaran keuntungan bank bagi tempoh enam bulan iaitu sama ada akan dikenakan atau tidak oleh pihak bank.

Ramai berharap agar ia tidak dikenakan. Sekiranya tidak, jumlah keseluruhan yang perlu dijelaskan akan meningkat daripada jumlah pembiayaan asal. Benar, pembayaran tidak perlu dibuat dalam tempoh enam bulan itu kerana tempoh pembiayaan dibawa ke hadapan.

Dengan kata lain, tempoh pembiayaan akan ditambah selama enam bulan lagi selepas tamatnya tempoh asal pembiayaan tersebut. Ia bagi meringankan aliran tunai rakyat Malaysia terutama mereka yang terkesan akibat Covid-19. Selama enam bulan pembayaran hutang kepada bank-bank ditangguhkan.

Ramai beranggapan ia adalah satu kemudahan yang ditawarkan pihak bank secara percuma dan itulah bahasa mudah yang diterangkan oleh Menteri Kewangan semasa diwawancara dan juga BNM (melalui soal jawab di internet bertarikh 27 Mac 2020).

Namun, situasi berlainan berlaku apabila pihak bank dan BNM memaklumkan bahawa keuntungan terakru akan dikenakan bagi tempoh ‘bertenang’ tersebut.

Sungguh ia adalah satu kejutan dan tamparan kepada ramai rakyat Malaysia kerana nadanya tidak seperti diperkatakan pada awal pengumuman kemudahan ‘moratorium’ itu.

Artikel Berkaitan:

Khusus bagi perbankan Islam, benar perubahan itu akan mengubah kontrak asal pembiayaan dengan segala syarat dan ‘aqad’ telah diperincikan seawal perjanjian pembiayaan dibuat. Segalanya terang dan jelas tanpa adanya segala kos tersembunyi atau perjanjian yang samar-samar.

Kerana itu, apa-apa perubahan yang berlaku di pertengahan perjalanan pembiayaan memerlukan persetujuan kedua-dua pihak dan pewujudan persetujuan yang baharu.

Paling penting ialah persetujuan kedua-dua belah pihak demi menjaga keutuhan transaksi pembiayaan yang dilakukan.

Namun, perkara itu tidak boleh menjadi penyebab kepada institusi kewangan Islam untuk tidak berasa sedikit ‘sakit’ bagi tempoh enam bulan tersebut demi mendapatkan keuntungan terakru.

Sebaiknya, bank-bank Islam perlu ke hadapan dengan menonjolkan nilai-nilai ihsan dan rasa ‘bersama’ dengan pelangan yang kepayahan untuk bekerja dan mendapatkan pendapatan.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 280 bermaksud: “Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”Ayat tersebut adalah ayat kedua sebelum ayat terpanjang dalam al-Quran iaitu yang berkait dengan hutang piutang. Ayat itu menjelaskan bahawa alangkah baik bagi pemiutang untuk memberi sedikit kelonggaran kepada penghutang ketika mereka berada dalam kepayahan. Ia adalah sumber motivasi kepada pihak perbankan Islam sebenarnya bagi menonjolkan sifat ‘rahmat’ dan berjiwa besar sebagai institusi contoh.

Saya percaya ia boleh dan mampu dilakukan. Perniagaan bukan terikat kepada mesti mendapatkan keuntungan bagi setiap transaksi yang dilakukan tetapi keuntungan jangka panjang yang boleh dilihat dari sudut kesetiaan pelanggan, nilai 'intrinsic' sebagai institusi bertanggungjawab dan 'good branding'.

Semoga ujian Covid-19 segera diangkat oleh ALLAH SWT dan kita semua bersedia sebaik mungkin untuk sesama menghadapinya dengan tabah dan berdisiplin.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!