Sayu hati melihat orang ramai serbu kedai pajak
Pembukaan kembali ekonomi dan sosial negara sejak kelmarin menjadi titik tolak untuk Malaysia kembali bangkit selepas hampir dua bulan dicengkam Covid-19.
Sepanjang 47 hari lalu, bukan sedikit kisah duka yang kita dengar mengenai kesusahan dan kepayahan yang terpaksa dihadapi pelbagai lapisan rakyat. Ada yang hilang kerja, ada syarikat yang terpaksa ditutup, ada pekerja dipotong gaji dan sebagainya.
Tidak kurang juga ada keluarga yang terpaksa makan nasi dengan kicap dan ada juga hanya berlaukkan gula.
Ternyata kisah-kisah sedih ini bukanlah momokan kosong untuk meraih simpati semata-mata.
Hari pertama pembukaan ekonomi kelmarin menjadi saksi betapa rakyat terutamanya daripada golongan kurang berkemampuan sangat memerlukan wang tunai.
Maka tidak hairanlah, antara lokasi yang paling mendapat tumpuan ramai kelmarin ialah kedai pajak gadai.
Daripada laporan dan foto serta video yang disiarkan, orang ramai berbaris panjang di depan kedai pajak untuk menggadai emas mereka bagi mendapat wang tunai.
Sayu hati Merak Jalanan melihat orang ramai terpaksa menyerbu kedai pajak untuk meneruskan kehidupan dan bangkit selepas teruk dibadai Covid-19.
Rata-rata ramai yang mengakui memerlukan wang untuk perbelanjaan barangan dapur dan ada juga mencari modal untuk menyambung semula perniagaan selepas terputus rezeki sejak 47 hari lalu.
Semoga dengan pembukaan ekonomi dan kelonggaran peraturan menerusi PKPB, kita sama-sama bangkit bukan sahaja untuk meningkatkan kembali ekonomi bersama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!