Berbaris di kedai pajak gadai
Salah satu imej yang buat Awang rasa sedih ialah orang ramai yang berbaris untuk masuk ke kedai pajak gadai. Hal ini berlaku di banyak kedai pajak gadai terutama di Kuala Lumpur setelah kedai-kedai itu dibuka.
Awang faham mengapa hal seperti itu berlaku. PKP selama sebulan lebih ini tentu jejaskan mata pencarian rakyat. Banyak yang bekerja sendiri. Ada yang bekerja gaji hari, ada kerja ada gaji. Agaknya wang simpanan dah habis.
Kalau ada yang boleh digadai syukur juga, kalau tak ada macam mana? Memang kerajaan ada bantu tapi bantuan kerajaan selalu ikut prosedur itu dan ini. Nak dapat bantuan kena banyak sabar. Memang sedap bunyinya orang macam Mak Cik Kiah dapat duit tapi maklumlah dalam soal birokrasi ini, macam-macam yang boleh berlaku.
Macam kes bank-bank yang tak prihatin langsung dalam soal moratorium bayaran balik enam bulan yang dijanjikan oleh Tan Sri Perdana Menteri. Tan Sri PM cakap begini, Bank Negara kata begitu, bank pula kata lain. Menteri Kewangan pula kata nak berunding dengan bank. Orang mula bertanya, dia menteri untuk bank atau menteri untuk rakyat?
Hal semacam ini kenalah pak dan mak menteri kita ambil kira. Memang niat nak tolong baik tapi dalam keadaan krisis Covid-19, tak usahlah berkira sangat bila nak bantu rakyat.
Apa yang nampak dalam foto itu hanya sebahagian daripada kesusahan rakyat. Awang harap foto itu diedarkan pada masa mesyuarat Kabinet. Mudah-mudahan ia akan sedarkan pak dan mak menteri kita tentang derita sebenar rakyat.
Kenapa tak selaras?
Awang rasa pelik kenapa hanya empat negeri yang ikut kerajaan Pusat untuk laksanakan langkah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula kelmarin.
Empat negeri lain dilaporkan akan melaksanakannya namun dengan melakukan pengubahsuaian. Enam negeri pula tidak ikut, sebaliknya mengekalkan langkah PKP yang asal.
Ada dua sebab mengapa hal ini berlaku. Pertama, mungkin kerajaan Pusat bertindak tanpa merujuk pada kerajaan negeri. Bagaimanapun, hal ini dinafikan oleh Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Kedua, kerajaan negeri anggap tindakan kerajaan Pusat tergesa-gesa atau tak ambil kira kepentingan negeri-negeri.
Ada juga komen yang Awang baca bahawa kerajaan Pusat lemah dan tak dapat kawal kerajaan negeri.
Pada pendapat Awang, tak ada salahnya kerajaan negeri ambil langkah sendiri. Tak semua negeri hadapi kesan yang sama dalam kes Covid-19. Ada yang serius, ada yang kurang.
Kerajaan negeri tentulah lebih faham keadaan mereka. Biarlah mereka buat langkah yang sesuai dengan keadaan negeri itu. Syarikat yang beroperasi di negeri berkenaan tentu faham. Tak usahlah timbul soal nak dakwa atau nak beri amaran untuk bawa negeri berkenaan ke mahkamah.
Awang percaya, tidak ada negeri yang nak melengah-lengahkan pembukaan kegiatan ekonominya tapi aspek keselamatan tentulah jadi keutamaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!