Penjawat awam menang bida kambing

Berjaya bawa pulang 15 ekor kambing
Berjaya bawa pulang 15 ekor kambing
A
A
A

KAMPUNG RAJA - Walaupun pernah tewas ketika membida haiwan ternakan dilelong Majlis Daerah Besut (MDB) dalam lelongan kali pertama, ia tidak sesekali mematahkan harapan Hamizon Mohd untuk mencuba nasib kali kedua.

Penjawat awam itu tewas dengan perbezaan sebanyak RM150 ketika lelongan 1 Januari lalu apabila dimenangi pembida dari Ketereh, Kota Bharu, Kelantan yang berjaya membawa pulang lima ekor kambing dan empat biri-biri dengan harga RM2,750.

Namun menerusi lelongan kali kedua yang berlangsung di lokasi sama di Depo MDB Gong Medang, Hamizon membawa kira-kira RM4,500 untuk membida 15 ekor kambing.

Pembida dari Gong Bayor itu akhirnya berjaya memenangi lelongan tersebut apabila menawarkan harga tertinggi iaitu RM3,500 berbanding harga rizab yang ditetapkan MDB sebanyak RM3,000.

Sementara itu, menurut Pembantu Penguatkuasa Kanan MDB, Mohd Khairani@Safari Alias, hanya lima orang mendaftar untuk membida kambing tersebut.

Katanya, bilangan pembida yang tidak ramai kemungkinan punca tidak berlaku perlawanan harga yang tinggi berbanding lelongan pertama dahulu.

“Hamizon memenangi lelongan tersebut apabila harga yang ditawarkannya tidak dilawan oleh pembida lain untuk membida 15 ekor kambing campur pelbagai jantina.

“Menerusi lelongan ini, setiap kenaikan harga bidaan ialah RM50 seterusnya bergantung kepada tawaran tertinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairani berkata, kambing tersebut adalah yang ditangkap dan disita di Kampung Pengkalan Nyireh dan Kampung Limbongan pada 6 Januari lepas dalam operasi haiwan merayau oleh penguat kuasa MDB.

Menurutnya, haiwan tersebut dilelong selepas pemilik tidak tampil menuntut dalam tempoh tujuh hari seperti yang ditetapkan.

“Kami akan adakan operasi besar-besaran menangkap haiwan berkeliaran khususnya di tepi jalan raya dan kawasan perumahan sehingga Mac ini disusuli operasi biasa selepas itu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!