Boleh pula main meriam!
PASIR SALAK - Tindakan tiga rakan 'meraikan' kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bermain meriam karbaid mengundang padah apabila ditahan polis dalam satu pemeriksaan di Padang Astaka Desa KPMP, Kampung Gajah semalam.
Ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 23 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah kira-kira jam 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, ketika pemeriksaan dibuat, kesemua mereka sedang leka bermain meriam karbaid.
"Apabila ditanya sebab berada di padang awam tersebut, mereka tidak dapat memberi alasan yang kukuh.
"Siasatan seterusnya mendapati mereka telah bermain meriam karbaid di situ sejak jam 9 malam lagi dan sempat melepaskan empat das tembakan sebelum ditahan," katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan fizikal ke atas semua tangkapan tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.
Katanya, polis kemudiannya merampas satu paip PVC dan satu paip simen yang telah diubah suai, satu batang kayu untuk mencucuh meriam, dua kayu diubah suai bersambung dengan mangkuk keluli di hujungnya.
"Turut dirampas satu bekas plastik mengandungi serbuk putih disyaki karbaid, satu botol plastik berisi cecair kuning disyaki diesel dan satu guni plastik digunakan untuk menutup lubang meriam.
"Semua peralatan ini disyaki digunakan oleh ketiga-tiga tangkapan untuk bermain meriam karbaid," katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai juruteknik elektrik dan peniaga tidak memiliki sebarang rekod lampau, saringan air kencing juga negatif.
"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.
Barudin meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penjualan atau aktiviti bermain mercun dan meriam.
"Kita tidak akan berkompromi kepada peniaga dan orang ramai yang terlibat kerana aktiviti ini membahayakan keselamatan awam.
"Di peringkat IPD juga telah ditubuhkan satu pasukan khas untuk memantau aktiviti ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!