96.8 peratus rakyat terima manfaat Prihatin
PUTRAJAYA – Kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati 96.8 peratus responden memperoleh faedah daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan kerajaan pada 27 Mac lalu.
Sebanyak 68.2 peratus responden menyatakan mereka menerima tiga bentuk bantuan, 13.9 peratus menerima dua bantuan dan 17.9 peratus menerima satu bantuan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, melalui Prihatin, didapati sejumlah 70.1 peratus responden berpendapat bahawa pakej rangsangan tersebut berkesan kerana dapat mengurangkan beban kewangan.
Bagaimanapun, 9.1 peratus reponden pula berpendapat, ia berkesan sepenuhnya kerana dapat menghilangkan beban kewangan yang dihadapi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Analisis yang dibentangkan dalam laporan survei khas itu meliputi pandangan individu secara kualitatif mengenai ekonomi, pekerjaan, corak kehidupan dan pendidikan," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Kajian tersebut dibuat oleh DOSM berdasarkan maklum balas Survei Khas Kesan Covid-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) telah dilaksanakan secara dalam talian pada 10 hingga 24 April 2020 yang lalu.
Seramai 41,386 responden meliputi seluruh Malaysia yang berumur 15 tahun ke atas telah menyertai survei khas kali ini.
Laporan penuh Survei Khas ini boleh diakses melalui portal DOSM iaitu www.dosm.gov.my dan media sosial rasmi Facebook, Twitter, Instagram @StatsMalaysia.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, sebanyak 90.9 peratus responden menyatakan keutamaan diberikan kepada kesihatan dan nyawa, diikuti dengan pendapatan (4.6 peratus) dan kehidupan kembali seperti normal (4.5 peratus).
"Kajian ini juga mendapati sejumlah 96.1 peratus responden berpuas hati dengan petugas kesihatan (frontliners) dan fasiliti kesihatan yang disediakan kerajaan dalam menangani (koronavirus) Covid-19," kata beliau.
Menurutnya, secara keseluruhan, wabak Covid-19 telah mempengaruhi gaya hidup 96.3 peratus responden dan 92.9 peratus responden bersedia mengadaptasi cara hidup baharu selepas tamat PKP.
"Dari aspek pendidikan pula, majoriti responden iaitu 54.5 peratus menyatakan bahawa tahap capaian internet bagi pembelajaran atas talian adalah sederhana.
"Susulan dari kesan Covid-19 ini, kebanyakan institusi pendidikan telah mengadakan sesi pembelajaran secara atas talian dan kajian mendapati secara purata 67.5 peratus responden/anak melaksanakan sesi pembelajaran atas talian dalam tempoh satu hingga lima jam sehari sepanjang PKP.
"Sebanyak 46.3 peratus responden menyatakan waktu capaian pembelajaran atas talian adalah lebih pantas pada siang hari iaitu di antara jam 7 pagi hingga 12 tengah hari," kata beliau.
Menurut Mohd Uzir, dapatan daripada survei ini diharap dapat membantu kerajaan dan penduduk Malaysia dalam menangani kesan Covid-19 terhadap ekonomi dan kehidupan.
"Analisis yang dikongsikan adalah berdasarkan kepada responden yang menyertai survei khas ini dan tidak mewakili pandangan seluruh rakyat Malaysia.
"Ia harus ditafsir secara berhati-hati bagi menilai kesan Covid-19 di Malaysia dan ia bukanlah statistik rasmi namun ia boleh digunakan untuk menyokong dalam memberi gambaran tentang situasi semasa.
“PKP dan penularan pandemik Covid-19 memberi kesan perubahan sistem atau cara bekerja bagi kebanyakan individu dan syarikat sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta," ujarnya.
Sehubungan itu, dengan kelonggaran PKP yang telah diberikan, majoriti masyarakat tidak lagi menjalankan tugas mereka seperti kelaziman sebelum ini dan mereka perlu beradaptasi diri dengan budaya normal baharu dalam kehidupan termasuk pekerjaan dan aktiviti seharian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!