Exco saman pemimpin PKR
AYER KEROH - Mahkamah Tinggi Melaka semalam, menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan semula kes saman seorang Exco kerajaan negeri terhadap Naib Ketua PKR Cabang Kota Melaka.
Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi, Ida Rahayu Sharif menetapkan tarikh itu untuk defendan menjawab saman Exco Kebudayaan dan Pelancongan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Peguam Naib Ketua PKR Cabang Kota Melaka, Mohd Ashiq Abd Samad, Goh Han Koon berkata, mahkamah mengarahkan anak guamnya mengemukakan surat jawapan terhadap saman berkenaan dalam tempoh tiga minggu selewat-lewatnya sebelum tarikh itu.
Sebelum ini, Muhammad Jailani sebagai plaintif memfailkan saman berjumlah RM5 juta terhadap Mohd Ashiq yang mempertikai pelantikan kakak kandung Muhammad Jailani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Zoo Melaka.
Mohd Ashiq tiba di pekarangan mahkamah bersama peguam dan penyokongnya kira-kira jam 9 pagi.
Hadir sama bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.
Muhammad Jailani pula tidak hadir dan diwakili Firma Guaman Phang & Partners.
Sementara itu, Mohd Ashiq yang dihubungi berkata, beliau bertanggungjawab dengan kritikan dan kenyataan yang dikeluarkan di Facebook yang merujuk individu itu berasaskan fakta dan bukannya sekadar fitnah.
“Sebelum dan selepas jadi kerajaan saya di peringkat cabang parti memang akan kritik sekiranya sesuatu itu tidak benar, kerana semangat integriti itu yang kita sering laungkan sebelum berjaya menjadi kerajaan lagi.
“Individu itu pun tiada memanggil untuk kita menyelesaikan secara baik dan terus mahu ke mahkamah tinggi dan saya terima dan ikuti proses mahkamah seterusnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!