Mark Adam mandi kalau rasa lapar

Kebahagiaan pasangan ini terserlah dalam gambar-gambar yang dimuat naik di akuan IG mereka.
Kebahagiaan pasangan ini terserlah dalam gambar-gambar yang dimuat naik di akuan IG mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - Ramadan kali ini mungkin berbeza kerana umat Islam menyambutnya di saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun kini dilonggarkan syaratnya menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Perkara tersebut turut dirasai oleh penyanyi dan pelakon, Mark Adam dan isterinya, Norazah Redzuan.

Bagi Mark atau nama lengkapnya Fikri Mark Adam Abdullah, 41, berpuasa pada tempoh PKP ini merupakan satu pengalaman baharu setelah mula berpuasa ketika memeluk agama Islam pada 2002.

"Ini merupakan pengalaman baharu yang saya dan semua orang perlu terima dan sekiranya kita semua berjaya melawan wabak ini, pastinya kita semua akan mengingatinya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Baginya, pengalaman berpuasa tahun ini mungkin akan menjadi satu cerita istimewa buatnya dan isteri untuk diingati kerana mereka lebih banyak menghabiskan masa bersama di rumah berbanding tahun-tahun sudah kerana sibuk dengan tugas.

Pada masa sama, penyanyi lagu Pencuri dan Marry Me itu beranggapan, meskipun Ramadan berbeza tahun ini, namun ada kenangan paling sukar dilupakan sepanjang hidupnya ketika menyambut bulan mulia itu.

Berkongsi pengalamannya, beliau berkata, Ramadan paling tidak boleh dilupakan dalam hidupnya adalah sewaktu baharu memeluk agama Islam dan beberapa tahun selepasnya.

“Saya peluk Islam pada 2002. Pada peringkat awal iaitu dua tahun pertama saya berpuasa tak penuh dan beberapa tahun selepas itu saya puasa penuh tetapi sentiasa mandi jika rasa lapar.

Artikel Berkaitan:

“Itu dahulu, sekarang saya sudah biasa puasa dan tidak masuk bilik air lagi. Saya tidak perlu lagi mandi sebab mahu hilangkan rasa lapar. Sekarang sudah biasa,” katanya.

Mengenai juadah berbuka dan bersahur pula, Mark berkata, beliau tidak cerewet dari segi menu sajian sebaliknya makan apa sahaja yang dimasak oleh Norazah.

“Saya tidak memilih menu makanan untuk berbuka. Selalu berbuka bersama keluarga mertua dan juga bertarawih bersama. Seronok. Isteri masak dan saya makan apa sahaja yang dia masak,” katanya.

Dalam masa sama, Mark mengakui merindui keluarganya di Cebu, Filipina yang begitu rapat dengan Norazah, malah sentiasa menanti detik mereka pulang ke kampung.

Bagaimanapun, Mark berkata, mereka hanya menyambut Aidilfitri di Malaysia tahun ini berikutan penularan koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!