Amanah gembira jika Bersatu kembali
SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menyambut baik cadangan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyifatkan parti itu perlu kembali bersama Pakatan Harapan (PH).
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, gabungan bersama PH merupakan tunjang dan kekuatan menghadapi krisis yang melanda negara dan pada masa sama berhadapan dengan Perikatan Nasional (PN).
“Amanah percaya PH sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendukung tinggi prinsip integriti serta tajdid yang diperjuangkan PH selama ini.
“Bagaimanapun, perkara itu perlu dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataannya di Facebook hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN] - Bersatu lebih baik bersama PH: Mukhriz
Status berkenaan juga sebagai mengulas pandangan Mukhriz yang menyifatkan Bersatu perlu kembali bersama PH berbanding PN ekoran ketidakstabilan kerjasama politik antara Bersatu, UMNO dan Pas.
Terdahulu, Mukhriz berkata, kelangsungan Bersatu terjamin dan maruah parti itu dapat dikembalikan jika parti itu kembali bersama PH selepas mengalami pengalaman pahit di bawah kerajaan PH tidak sampai dua bulan.
Ini kerana katanya, Ahli Majlis dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dianggotai Bersatu telah digugurkan di beberapa negeri kecuali Kedah.
Mukhriz melalui kenyataan di Facebooknya pada 3 Mei lalu itu juga menyarankan semua wakil rakyat Bersatu yang bersetuju dengan kenyataan itu sedar dan bekerjasama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!