EU gesa siasatan bebas asal usul wabak Covid-19
BRUSSELS - Kesatuan Eropah (EU) akan mengesyorkan satu siasatan bebas mengenai asal usul wabak koronavirus (Covid-19) dilaksanakan, kata jurucakap hal ehwal luar negeri blok itu pada Selasa.
Beliau berkata, syor itu akan dikemukakan pada Perhimpunan Majlis Kesihatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Pemahaman menyeluruh mengenai epidemiologi pandemik Covid-19 sangat penting untuk pihak berkuasa awam membuat keputusan yang tepat," kata Virginie Battu-Henriksson kepada agensi berita Anadolu.
Diplomat EU kini sedang merangka draf resolusi yang akan diterima pakai pada perhimpunan 18 Mei nanti.
Dokumen berkenaan menggesa sebuah kajian bebas mengenai pengajaran yang diperoleh daripada krisis kesihatan global itu untuk membantu masyarakat antarabangsa bersiap sedia mendepani cabaran masa depan.
Sementara itu, dalam wawancara dengan Le Journal de Dimanche dari Perancis, ketua dasar luar EU, Josep Borrell bercakap mengenai pentingnya siasatan bebas.
"Siasatan itu perlu mengenepikan "perang antara China dan Amerika Syarikat (AS), yang saling menuding jari, yang hanya akan memburukkan lagi keadaan," katanya.
Bulan lalu, Presiden Donald Trump memutuskan untuk menghentikan sumbangan kepada WHO, mendakwa badan dunia itu gagal menguruskan wabak Covid-19 kerana menerima tekanan dari China.
Hubungan AS-China meruncing sejak Trump menuduh China sengaja menghasilkan virus Covid-19.
Sejak muncul di Wuhan, China akhir tahun lalu, virus maut itu sudah merebak ke sekurang-kurangnya 187 negara dan wilayah, menurut Johns Hopkins University.
Lebih 3.6 juta kes Covid-19 dilaporkan di seluruh dunia dengan hampir 252,000 kematian dan lebih 1.1 juta pesakit pulih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!