21 suspek dikehendaki Esscom, terlibat kumpulan penculik

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengeluarkan senarai 21 suspek warga asing dikehendaki kerana terbabit dengan jenayah rentas sempadan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang telah dikemas kini termasuk tiga suspek baharu.

Tiga individu baharu dalam senarai itu ialah Mamay Aburi, Basaron Arok dan Alvin Yusof @ Arab Puti.

Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata, kesemua 21 suspek dipercayai terlibat dengan kumpulan penculikan untuk wang tebusan (kfrg) di pantai timur Sabah.

"Mereka ini terlibat merancang jenayah sepanjang tahun lalu dan sehingga kini masih aktif, mereka dikehendaki bagi membantu siasatan kes di pantai timur Sabah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, usaha mengesan aktiviti penculikan di perairan Esszone disifatkan bagai permainan tikus dengan kucing.

"Mereka (suspek) tunggu peluang sambil bersembunyi," katanya lagi.

Turut tersenarai sebagai dikehendaki ialah pemimpin Abu Sayyaf iaitu Salip Mura dan Hatip Hajan Sawadjaan.

Selain itu, Idang Susukan yang disyaki bertanggungjawab memenggal kepala warga Malaysia, Bernard Then Ted Fen yang diculik di sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada Mei 2015 juga berada dalam senarai dikehendaki.

Artikel Berkaitan:

Antara lain yang tersenarai Apo Mike @ Majan Sahidjuan; Al Munjir Yadah; Raden Abuh; Marajam @ Manajan Asiri; Sangbas @ Anjang; Hamsan Pakkan @ Black Cobra; Sabri Madrasul @ Salip Jul; Ben Tatoh Quirino; Titing Alihasan @ Iyot Panday; Jul @ Jun Hasan; Jul Aksan Abdurajan @ Halimaw; Tampi @ Bunju; Long Sahirin; Halip Ibrahim serta Haibin Mubin @ Apo Kuhambo.

Hazani berkata, senarai terkini itu dikeluarkan selepas pihaknya menjalankan siasatan termasuk mendapat pengesahan pasukan keselamatan Filipina.

Katanya, orang ramai yang mempunyai menyalurkan maklumat berkaitan dengan individu disenaraikan itu, boleh menghubungi Bilik Gerakan Esscom di talian 089- 863181 atau WhatsApp di nombor 013-8803585 atau 019-2305909. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!