Dua warga India dipenjara pecah masuk kedai

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua rakan dari India dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan pecah masuk kedai dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) minggu lalu.

Kumaran, 25, dan Chinna Maruthu, 22, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret M Saravanan.

Mahkamah menetapkan kedua-duanya menjalani hukuman penjara secara serentak iaitu lima hari bagi ingkar PKP dan lapan bulan bagi kesalahan pecah masuk.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa menceroboh masuk kedai KK Mart dengan memecahkan pintu utama premis tersebut di Taman Usahawan Kepong pada jam 1.42 pagi, 29 April lalu, melibatkan kecurian 22 barang termasuklah minuman keras, rokok, pencuci rambut, kacang dan minuman berjumlah RM353.70.

Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh, namun mereka yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan.

Sementara itu, dua pemuda berkenaan merupakan antara 21 individu termasuk wanita, yang didakwa ingkar PKP bermula 21 April hingga 5 Mei lalu.

Kesemua tertuduh berusia antara 21 hingga 50 tahun itu didapati melakukan kesalahan seperti di Sekatan Jalan Raya Ops Covid-19 Sentol, Kuchai Lama dan Brickfield.

Artikel Berkaitan:

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3 (1) dan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri mencadangkan hukuman setimpal sebagai menjadi pengajaran agar tidak melakukan kesalahan sama di masa depan.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon maaf atas perbuatan tersebut dan merayu agar menerima hukuman ringan.

Sebahagian kecil daripada tertuduh dihukum penjara lima hari dari tarikh tangkap manakala selebihnya didenda RM800 hingga RM1,000 atau tiga bulan penjara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!